|
QATAR berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Asia yang dimenangi pada edisi 2019 apabila mengulangi kejayaan itu di laman sendiri pada kempen kali ini. - AFP
DOHA – Jurulatih Qatar, Marquez Lopez memuji para pemainnya terutama ketenangan mereka melakar kemenangan 3-1 penuh kontroversi keatas Jordan sekali gus mempertahankan gelaran Piala Asia 2023.
Skuad The Maroons menjulang Piala Asia menerusi tiga jaringan penalti yang disempurnakan penyerang sensasi, Akram Afif di Stadium Lusail awal pagi semalam sekali gus membolehkan Qatar meraih gelaran juara berturut-turut.
Biarpun keputusan pengadil perlawanan dari China, Ma Ning memberikan tiga penalti buat Qatar seakan jadi penutup paling mengecewakan buat Jordan, tetapi Lopez tetap berbangga dengan pencapaian pasukannya.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Qatar dan para pemain. Kami sangat gembira bahawa kami memenangi perlawanan ini.
“Mungkin ini bukan bola sepak yang cantik tetapi semua orang akan mengingati pemenang dan saya bangga dengan para pemain saya dan pencapaian mereka,” kata Lopez.
Sementara itu, Lopez turut memuji pemainnya, Afif apabila melakar hatrik sekali gus menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai dan Anugerah Penjaring Gol Terbanyak Piala Asia AFC Qatar 2023 dengan lapan gol.
“Saya gembira Akram (Afif) memenangi kedua-dua anugerah itu dan dia layak untuk memenanginya,” tambah jurulatih dari Sepanyol berusia 62 tahun.
Hasil kemenangan tersebut, Qatar menjadi negara kelima yang memenangi gelaran Piala Asia berturut-turut selepas Korea Selatan pada edisi 1956 dan 1960, Iran yang mencipta hatrik (1968, 1972,1976), Arab Saudi (1984,1988) dan Jepun pada edisi 2000 dan 2004. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... da-dinikmati-qatar/ |
|