|
Barisan pemain Jordan meraikan kemenangan yang dilakar ke atas Korea Selatan awal pagi tadi. - Foto oleh AFC
DOHA – Pasukan Jordan terus mencipta sejarah apabila mara ke pentas final Piala Asia buat kali pertama apabila menewaskan negara pilihan, Korea Selatan 2-0 di pusingan separuh akhir awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Jordan yang menduduki ranking ke-87 dan Korea Selatan yang berada di kedudukan 23 dunia dilihat agak seimbang pada 45 minit pertama.
Namun, Jordan akhirnya Yazan Al Naimat meledak gol pembukaan pada minit ke-53 untuk memastikan skuad kendalian Hussein Ammouta itu berada di depan.
Momentum cemerlang diteruskan oleh Jordan untuk terus memberi tekanan kepada Taeguk Warriors dengan melakukan beberapa siri asakan ke kubu lawan.
Penyerang sensasi Montpellier, Musa Al Tamari memastikan The Chivalrous selesa didepan apabila meledak gol kedua hasil gerakan cantik untuk menewaskan penjaga gol lawan, Jo Hyeon-Woo pada minit ke-66.
Tersentak dengan gol tersebut, Korea Selatan yang dibimbing oleh Jurgen Klinsmann berusaha untuk bangkit pada penghujung perlawanan tetapi keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Jordan akan menentang pemenang antara Iran atau tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar pada aksi final pada Sabtu ini. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... gkir-korea-selatan/ |
|