Rantau Panjang: "Saya tempatkan dahulu suami yang sakit di para kayu yang sudah digenangi air separas 0.3 meter dibawahnya, sebelum berpindah ke tempat selamat," kata Wan Sharifah Omar, 63.
Dia mengakui bimbang akan keselamatan suami, Ismail Che Hamat, 62, yang menghidap penyakit jantung dan hilang ingatan memandangkan kediamannya hanya terletak beberapa langkah sahaja dari tebing Sungai Golok.
"Rumah kami sangat dekat dengan sungai, jadi memang menjadi penempatan awal dinaiki air. Lebih memeritkan, apabila dalam situasi sebegini, saya perlu mengawal suami 24 jam demi menjaga keselamatannya.
"Jika hujan berterusan, sungai semakin bertambah menyebabkan banjir di dalam rumah meningkat sehingga boleh mencecah paras 1.5 meter.
"Saya berharap agar air tidak terus bertambah kerana jika berlaku sebaliknya, saya perlu membawa suami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menumpang kenderaan jiran," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pangkalan Haram Baung, di sini, hari ini.
Wan Sharifah berkata, jika PPS belum dibuka, dia terpaksa menumpang rumah saudara terlebih dahulu kerana kediamannya sudah tidak selamat untuk didiami.
"Saya berharap agar air surut segera kerana sukar untuk menjaga suami di PPS. Dia sudah tidak seperti dahulu lagi, perlu diuruskan segala-galanya termasuk ketika membuang air besar dan mandi," katanya.