Pasukan SAR mengusung mayat lelaki warga emas yang ditemui sekitar jam 4.06 petang kira-kira 500 meter dari Tamu Lutong, Miri hari ini.
MIRI: Mayat seorang warga emas yang terjatuh dari Jambatan Lutong petang Ahad, telah dijumpai pada kira-kira jam 4.06 petang ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Daerah Miri berkata, mayat lelaki yang masih lengkap berpakaian itu ditemui pada jarak 500 meter dari Tamu Lutong di sini.
Mayat yang ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu kemudian telah diambil dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
SAR lelaki tanpa sebarang identiti itu turut membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, anggota polis, Pasukan Polis Marin Wilayah 5 dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Dalam kejadian petang Ahad itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai terjatuh ke Sungai Lutong.
Alexson berkata, menurut pengadu sekitar jam 2.10 petang Ahad ketika sedang memandu melalui Jambatan Lutong dari arah pusat bandar menghala ke Lutong, dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali sedang duduk di tepi Jambatan Lutong.
Apabila memandang ke cermin sisi kenderaannya, pengadu berkata kelibat lelaki itu tidak kelihatan lagi, ujarnya.