Menerusi sentuhan Jota dan Nunez, mengetepikan masalah ketiadaan Salah untuk berkelebihan lima mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris
Jota (empat kiri) menjaringkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Bournemouth dan Liverpool di Stadium Vitality di Bournemouth, kelmarin. — Gambar AFP
BOURNEMOUTH: Liverpool mengenepikan masalah ketiadaan Mohamed Salah untuk berkelebihan lima mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris selepas Diogo Jota dan Darwin Nunez masing-masing menjaringkan dua gol ketika menang 4-0 di Bournemouth pada Ahad.
Kemampuan Liverpool mencabar kejuaraan liga akan diuji ketika penyerang bintang mereka, Salah, beraksi bersama Mesir dalam kejohanan Piala Negara Afrika (AFCON).
Tetapi Jota dan Nunez menyahut cabaran sebagai pengganti Salah dengan memastikan satu kemenangan penting ke atas salah satu pasukan yang berprestasi tinggi dalam liga sejak beberapa minggu yang lalu.
Bournemouth hanya tewas sekali dari sembilan perlawanan terakhir untuk menjarakkan kedudukan dengan selesa dari zon penyingkiran.
Bagaimanapun, Bournemouth bertahan dengan baik dalam separuh masa pertama sebelum anak buah Jurgen Klopp ‘mengamuk’ selepas rehat.
“Ia jelas kami perlu mengubah sesuatu. Kami melakukannya dan ia berhasil lebih baik,” kata Klopp ketika bercakap tentang perubahan aksi di antara separuh masa pertama dan separuh masa kedua.
“Semuanya lebih bagus, kami memberikan asakan demi asakan ke atas mereka dan kami menjaringkan beberapa gol yang cantik. Kesan dari bangku simpanan juga menyerlah, jadi ia adalah malam yang agak bagus.”
Liverpool hanya mampu melakukan rembatan dari jarak jauh dalam separuh masa pertama.
Tetapi permainan berubah dengan satu saat kualiti dari Liverpool untuk memecah kebuntuan pada minit ke-49.
Umpanan Jota membolehkan Nunez mempunyai peluang, dengan penyerang antarabangsa Uruguay itu menunjukkan ketepatan yang selalu jarang berlaku musim ini dengan merembat bola ke pintu gol.
Pemain gantian, Cody Gakpo, kemudian mengumpan bola kepada Jota untuk menambah jaringan ketika berbaki 20 minit permainan.
Jota bernasib baik menjaringkan gol kedua apabila gagal melakukan penyudah kemas dari umpanan Conor Bradley sebelum merembat bola lebih baik dari hantaran Neto tidak lama selepas itu.
“Kami mempunyai pemain kelas dunia dan apabila kami memiliki mereka, ia lebih mudah,” kata Jota. “Tetapi kami adalah Liverpool, jadi apabila anda tidak memiliki mereka dalam pasukan, kami masih mempunyai pasukan yang bagus.
“Kami boleh menggantikan mereka dan berkongsi beban permainan untuk memastikan kami terus melangkah.”
Nunez hanya menjaringkan satu gol dalam 16 penampilan terakhir sejak menjaringkan gol kemenangan ke atas Bournemouth dalam aksi Piala Liga Inggeris pada awal bulan November.
Keyakinan dari gol pertama membolehkannya menyempurnakan umpanan Joe Gomez untuk melengkapkan jaringan pada minit kecederaan.
“Kami mula melakukan sesuatu yang tidak kami lakukan dalam separuh masa pertama dan mungkin melakukannya terlalu pantas. Ia menjadikan keadaan lebih buruk bagi kami,” kata pengurus Bournemouth, Andoni Iraola.
“Kami mula memberikan banyak ruang di bahagian tengah dan tidak begitu agresif. Liverpool tidak hilang rentak. Jika anda gagal menyamai rentak mereka, maka ia pastinya sukar.”
Manchester City kurang satu perlawanan berbanding Liverpool dan boleh mengurangkan jurang mata dengan kurang dua perlawanan.
Tetapi selepas satu musim hambar di mana Liverpool tercicir ke tangga kelima musim lepas, tiada keraguan musim ini di mana mereka adalah ancaman terbesar buat City dalam saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. — AFP
|