|
PASUKAN penyelamat dan orang kampung mengangkat Muhammad Izz Muttaqin yang ditemui dalam keadaan lemah di Kampung Tengah, Jeneri kelmarin.
SIK – Seorang datuk tidak menyangka cucunya yang mengidap penyakit autisme boleh berjalan seorang diri ke tali air berhampiran rumahnya sehingga menyebabkan dia terjatuh dan hampir mati lemas kelmarin.
Che Adli Yahaya, 60, berkata, ketika kejadian cucu sulungnya, Muhammad Izz Muttaqin Muhamad Rizal, 4, tinggal bersama neneknya, Hasnah Hashim, 54, manakala dia ke masjid untuk menunaikan solat asar.
“Kejadian berlaku sekelip mata kerana sebelum kejadian cucu berada bersama neneknya di dalam rumah.
“Dia kemudian boleh berada dalam tali air yang jaraknya hanya 50 meter dari rumah. Mungkin dia buka pintu pagar dan boleh berjalan keluar dengan tidak memakai kasut dan baju,” katanya di sini.
Ketika kejadian pada pukul 4.30 petang di Kampung Tengah, Jeneri itu, mangsa ditemui terlangkup di permukaan tali air tersebut.
Menurut Che Adli, sebaik tersedar cucu hilang, isterinya segera mencarinya di sekeliling rumah sebelum menemuinya terapung di tali air yang mempunyai kedalaman kira-kira satu meter.
“Tindakan pantas isteri dapat menyelamatkan cucu kesayangan saya itu. Kami kemudian meminta pertolongan orang kampung untuk memanggil Pasukan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia untuk dibawa ke Hospital Daerah Sik (HDS),” katanya.
Ujar Che Adli, ibu bapa cucunya berada di Kuala Lumpur kerana bekerja dan mangsa tinggal bersamanya sejak lahir.
“Saya bersyukur kerana cucu berada dalam keadaan stabil di HDS, namun masih dalam pemantauan doktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... t-cucu-hampir-mati/ |
|