Bukit Mertajam: Gadis dari Kampung Pertama, Permatang Pauh di sini, merayu bantuan orang ramai bagi mengesan ibu kandungnya yang terpisah sejak lahir.
Nurul Najwa Abdullah, 27, berkata, selepas dilahirkan, dia diserahkan kepada keluarga angkat dan sejak itu, tidak pernah berhubung dengan wanita berkenaan.
"Saya diambil oleh sebuah keluarga sebagai anak angkat selepas dilahirkan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, pada 9 Mei 1997.
"Menurut ibu angkat, ibu kandung saya berasal dari Indonesia bernama Sumarlina Yulianti Soleiman yang kini dianggarkan berusia 48 tahun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nurul Najwa berkata, dia sudah lama berhasrat mahu bertemu ibu kandung, tambahan pula dirinya bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember depan.
Katanya, walaupun agak sukar mengesan ibunya kerana tiada gambar kenangan, namun dia berharap wanita berkenaan dapat ditemukan dan masih sihat.
"Diharap dengan laporan menerusi media dapat membantu menjejak semula ibu kandung yang tidak pernah saya kenali," katanya yang turut membuat laporan dibuat di Balai Polis Seberang Jaya di sini, semalam, bagi mengesan wanita berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sumarlina Yulianti boleh hubungi Nurul Najwa di talian 017-562 9226.