CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16123|Reply: 0

[Perak] Premis seleweng minyak diesel bersubsidi diserbu, nilai sitaan cecah RM1.7 juta

[Copy link]
Post time 8-1-2024 04:08 PM | Show all posts |Read mode

Anggota KDPN menunjukkan sambungan ke sebuah lori tangki yang dikesan di sebuah premis di Seri Manjung semalam. - Foto KPDN PERAK

MANJUNG – Sebuah premis yang melakukan penyelewengan minyak diesel melalui aktiviti bunkering diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Kampung Baru Lumut di Seri Manjung di sini semalam dengan nilai sita rampasan keseluruhan bernilai RM1.7 juta.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang dilaksanakan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung setelah risikan selama dua minggu terhadap kegiatan tersebut dilakukan.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan di premis terbabit, ditemui sebuah lori tangki sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke atas sebuah bot penunda (tugboat).

“Siasatan awal mendapati bot penunda tersebut adalah dimiliki oleh sebuah syarikat pemegang lesen runcit bunkering yang masih sah tempoh dan beralamat di Manjung, Perak dan lori tangki pula dimiliki oleh sebuah syarikat pembekal minyak yang mempunyai lesen borong diesel yang masih sah tempoh beralamat di Selangor.

“Hasil pemeriksaan lanjut dan semakan awal ke atas dokumen pembelian dan penjualan, mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan dan disyaki palsu kerana ditemui transaksi yang berbeza dengan rekod yang diperolehi daripada syarikat pembekal minyak berjenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata, pihak KPDN percaya sindiket itu cuba memalsukan rekod transaksi sumber minyak diesel diperolehi untuk mengaburi pihak berkuasa melalui penyataan dan dokumen yang telah disita.

Menurut beliau, penyataan minyak kegunaan industri itu didapati adalah berbeza dengan minyak diesel yang digunakan oleh bot penunda sebagai bahan bakar.

Bahkan, ujarnya, minyak diesel tersebut disyaki diperolehi daripada sumber bersubsidi yang telah dicampurkan dengan minyak komersil dan dikumpulkan daripada pelbagai sumber seperti stesen minyak, minyak nelayan dan lain-lain.

“Melalui arahan pengisytiharan stok dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kedua-dua syarikat, sebanyak anggaran 60,429 liter cecair yang disyaki minyak diesel berada di dalam lori tangki dan bot penunda tersebut telah disita.

“Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,761,287. Empat orang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemandu lori berusia 33 tahun, kalindan lori, 36, penyelia bot penunda, 25, dan ejen syarikat, 24, yang turut berada di tempat kejadian telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Perseorangan atau individu selain dari badan korporat, tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan
1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Manakala bagi pertubuhan atau perbadanan,mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

“KPDN Perak akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... n-cecah-rm1-7-juta/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-5-2024 03:27 PM GMT+8 , Processed in 0.076883 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list