|
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) belum mengesahkan perlantikan Junior. -FOTO AFP
Rio de Janeiro: Jurulatih Sao Paulo FC Dorival Junior akan menjadi jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brazil, kata kelab itu selepas Fernando Diniz dipecat daripada tugas membimbing juara dunia lima kali itu berikutan beberapa siri kekalahan.
"Ia adalah impian yang menjadi kenyataan," kata jurulatih yang memenangi Copa do Brasil 2023 itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Sao Paulo di platform X, selepas beberapa hari spekulasi dia akan dinamakan untuk mengambil alih pasukan Brazil yang sedang bergelut.
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) bagaimanapun tidak terus mengesahkan pengumuman itu.
Dorival, 61, yang melatih Flamengo meraih dua gelaran utama pada 2022 - Copa do Brasil dan Copa Libertadores sebelum menyertai Sao Paulo, di mana dia terus merangkul trofi.
Dia mengambil alih kuasa besar bola sepak Brazil pada saat yang sukar.
"Selecao" bergelut dengan beberapa siri kecederaan, termasuk bintang Neymar, yang mengalami kecederaan ligamen lutut ketika tewas 0-2 kepada Uruguay Oktober lalu dan dijangka diketepikan selama berbulan-bulan.
Di bawah Diniz, Brazil mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam kelayakan Piala Dunia, termasuk perlawanan menentang Uruguay dan kekalahan memalukan 0-1 di laman sendiri kepada musuh ketat Argentina pada November.
Brazil kini berada di tempat keenam dalam kelayakan Piala Dunia 2026 Amerika Selatan, kedudukan terakhir untuk kelayakan automatik dari benua itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... latih-baharu-brazil |
|