Dungun: Penduduk lima kampung di Hulu Dungun dekat sini, terpaksa bergelap selain berdepan masalah talian telekomunikasi setiap kali banjir melanda dan ia dikatakan berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Menurut penduduk, ia berlaku disebabkan pencawang elektrik di kawasan kampung berkenaan ditenggelami banjir menyebabkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa mengambil tindakan memutuskan bekalan elektrik.
Penduduk, Che Ku Fahimi Che Ku Mat Salleh, 55, berkata, kampung terbabit ialah Kampung Tepus, Minda, Kuala Jengai, Rantau Panjang dan Talong membabitkan kira-kira 700 rumah.
Menurutnya, ia bukan saja menyebabkan penduduk terpaksa bergelap malah menyukarkan penduduk berhubung dengan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Bila tiada bekalan elektrik, mangsa banjir sukar untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa.
"Ada penduduk yang terpaksa meredah arus sungai deras untuk memohon bantuan serta mendapatkan bekalan makanan berikutan tidak dapat berhubung dengan pihak berkaitan," katanya.
Katanya, biarpun berdepan dengan risiko, penduduk tiada pilihan kerana hanya itu cara yang ada untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, keadaan itu berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan pihak TNB untuk menyelesaikan masalah itu.
"TNB sudah mengambil langkah untuk menaik taraf pencawang yang ditenggelami banjir dan kami harap, masalah itu dapat diselesaikan segera," katanya.