Tumpat: Banjir termenung yang melanda di Kampung Kajang Sebidang, di sini menyebabkan kira-kira 100 jemaah hadir menaiki perahu dan bot ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Masing-masing mengemudi bot sendiri dan ada yang menumpang perahu jemaah lain tiba seawal jam 12.50 tengah hari lagi sebelum meletakkan pengangkutan air itu di tepi pagar Masjid As Syakirin, di sini.
Menurut penduduk Kampung Kajang Sebidang, Syaharudin Mohd Nor, 46, setiap tahun masjid itu terjejas banjir dan ada masanya mencecah sehingga lantai masjid.
"Perkarangan luar masjid adalah sawah padi dan air masih memenuhi kawasan itu yang turut menenggelamkan jalan yang menjadi laluan kenderaan darat.
"Walau keadaan sekeliling seumpama lautan, penduduk dari kampung ini serta Palas Merah dan Dalam Kota tetap hadir menunaikan solat Jumaat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Syaharudin berkata, semalam air melimpah hampir memasuki ruang dalam masjid dan hari ini paras air semakin surut walau hanya 0.5m saja perubahannya.
Katanya lagi, jika tidak disebabkan banjir, masjid itu boleh menampung lebih ramai lagi jemaah solat Jumaat namun ramai yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Selain Masjid As Syakirin, beberapa lagi masjid di sini yang turut dinaiki air iaitu di Kampung Bendang Pak Yong, Simpangan, Teluk Jering serta Kubang Sawa dan semua kariah tiba menggunakan bot atau perahu.
Seorang lagi kariah Masjid As Syakirin, Mohd Din Mat Min, 65, hadir berjalan kaki ke masjid dengan meredah banjir di paras 0.8m dari rumahnya yang berjarak 300m.
Dia berkata, kebetulan hari ini bot miliknya digunakan ahli keluarga yang mempunyai urusan penting untuk keluar menyebabkan dia mengambil keputusan meredah banjir dengan berjalan kaki.
"Di perkarangan rumah, paras air masih lagi setinggi 0.7m dan tiada masalah untuk saya berjalan kaki meredah air kerana jarak rumah dengan masjid tidaklah terlalu jauh.
"Air juga memasuki rumah menyebabkan isteri dan anak berpindah ke PPS manakala saya pula berlindung di bangunan di sebelah rumah untuk menjaga keselamatan kediaman dari dipecah masuk," katanya.