View: 8064|Reply: 0
|
Raja Talut penguasa pertama Bani Israel
[Copy link]
|
|
Raja Talut penguasa pertama Bani Israel
NABI Yusya’ AS bersama pengikutnya dari Bani Israel berjaya menguasai tanah di sebelah Timur Laut Palestin.
Bencana ini sambungan bagi artikel lepas bertajuk Detik permulaan pemerintahan Bani Israel di Palestin. Para pembaca boleh membacanya berdasarkan carian tajuk tersebut agar dapat memahami kronologi kandungan tema dibicarakan.
Menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, Nabi Yusya' bin Nun AS berjaya menguasai Palestin dan memerintahnya sekitar 1190 SM (SM merupakan singkatan kepada Sebelum Masihi yakni sebelum kedatangan Nabi Isa AS) iaitu 3200 tahun lalu.
Nabi Yusya' AS bersama pengikutnya dari Bani Israel berjaya menguasai tanah di sebelah Timur Laut Palestin. Setelah 150 tahun berlalu, Bani Israel mula ditimpa bencana, keruntuhan akhlak dan agama.
Menurut buku berjudul Konsep dan Kedudukan Bangsa Pilihan Menurut Agama Islam dan Agama Yahudi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1989 yang ditulis Ismail Abdul Rahman, Bani Israel berada dalam keadaan bahaya dan terdedah kepada musuh selama 300 tahun.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?" Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." (Surah al-Baqarah ayat 246)
Menurut Tafsir Ibn Kathir, setelah kewafatan Nabi Musa AS, Bani Israel beristiqamah dengan kebenaran tempoh masa tertentu (termasuk zaman Nabi Yusya' AS), kemudian mereka melakukan perkara bercanggah dengan agama dan menyembah berhala sehingga mereka dikuasai pihak lain dan kitab Taurat dirampas. Selepas beberapa tempoh, ada peristiwa wanita dari keturunan Lawi (antara 12 anak Nabi Ya'qub AS) berdoa berkali-kali agar anak dilahirkan nanti dilantik menjadi seorang Nabi.
Allah SWT mendengar permintaannya dan mengurniakannya seorang anak diberi nama Syamwil (dalam Bible disebut Samuel) yang bermaksud Allah SWT mendengar (sami'a Allah). Atau pandangan lain, namanya Syam'un dengan maksud sama. Menurut Tafsir al-Baghawi, baginda diberi nama Sam'un yang mana dalam bahasa 'Ibrani, huruf sin disebut syin, maka namanya disebut Syam'un. Ketika dewasa, Allah SWT memberi wahyu agar baginda berdakwah dan mentauhidkanNya.
Dalam Tafsir al-Jalalain, Bani Israel memohon kepada Nabi Syamwil AS agar berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan pemimpin untuk memerangi Jalut yang merampas tanah, membunuh dan menawan ahli keluarga mereka. Maka, Allah SWT melantik Talut sebagai pemimpin Bani Israel. Menurut Tafsir al-Qurtubi, dikatakan bahawa diberi nama Talut kerana baginda bertubuh tinggi.
Pelantikan Talut sebagai pemimpin menzahirkan sikap Bani Israel yang tidak menghormati nabi. Kini giliran Nabi Syamwil AS pula menjadi mangsa ketidakpatuhan mereka. Mereka tidak bersetuju Talut dilantik menjadi pemerintah meskipun asalnya mereka sendiri meminta agar baginda AS berdoa supaya seorang pemimpin dilantik.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan." Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman." Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya." (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya." Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkan sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir." Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam." (Surah al-Baqarah ayat 247-251)
Menurut Tafsir al-Baghawi, mereka tidak bersetuju pelantikan Talut kerana baginda dari keturunan Bunyamin. Biasanya pemimpin dilantik dari keturunan Yahuza bin Nabi Ya'qub seperti Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS manakala nabi dilantik dari keturunan Lawi bin Nabi Ya'qub seperti Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Talut bukan keturunan pemerintah dan para nabi Bani Israel.
Menurut Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh, setelah Talut menjadi pemerintah, mereka sentiasa mendapat kemenangan mengatasi musuh-musuh mereka. Segala perselisihan dan keruntuhan agama dan akhlak sudah kembali pulih.
Kemudian, Nabi Daud AS mengambil alih pemerintahan Bani Israel Palestin selepas kematian Talut 1004 SM. Kerajaan baginda mengatasi ramai musuh dan menguasai sebahagian besar tanah Palestin kecuali pesisiran pantai. Dikatakan pemerintahan zaman baginda kekal hingga 963 SM. Menurut Ismail Abdul Rahman, zaman kegemilangan Kerajaan Bani Israel bermula pada zaman pemerintahan Nabi Daud AS.
Siri berikutnya menjelaskan pemerintahan setelah zaman Nabi Daud AS yang merupakan kemuncak kegemilangan orang Yahudi atau Bani Israel.
Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... pertama-bani-israel
|
|
|
|
|
|
|
| |
|