|
Johan Ghazali menundukkan Edgar Tabares dari Mexico dalam kategori catchweight pada ONE Championship di Bangkok hari ini. – Foto Facebook Muhammad Johan Ghazali
KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfika hanya memerlukan 36 saat pada pusingan pertama untuk muncul pemenang bagi kategori catchweight MuayThai Primetime US, ONE Championship 2023 di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Johan atau dikenali sebagai Jojo nyata tidak perlu bermandi peluh untuk menewaskan pencabar dari Mexico, Edgar Tabares - lawan yang lebih berpengalaman dan berusia berbandingnya.
Jojo, 17, yang mewakili Rentap MuayThai Gym, pada awalnya diasak di bahagian kaki sebelum melakukan lima serangan balas di muka dan badan Tabares dari pasukan Fighting Demons/Richard Cruz MuayThai.
Lawan berusia 29 tahun yang juga juara MuayThai Antarabangsa WBC itu nyata tidak dapat menampung serangan dilakukan Jojo sehingga menyaksikan Tabares tertunduk menahan kesakitan sebelum Jojo diisytiharkan sebagai pemenang menerusi keputusan knockout.
"Menakjubkan... saya berada di pentas yang besar. Ini satu permulaan dan akan ada lagi perlawanan yang lebih besar pada masa akan datang," kata Jojo selepas perlawanan.
"Nama saya Johan, dalam bahasa Melayu, ia bermaksud juara. Jadi saya akan sentiasa berada dalam misi untuk membuktikannya dan hidup dengan nama saya ini. Pegang kata-kata saya, saya akan menjadi juara paling muda di ONE Championship, juara MuayThai, Insya-Allah."
Untuk rekod, Jojo belum pernah ditewaskan dalam lima pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada Februari lalu dan dilihat sebagai bintang dalam pembikinan bagi sukan pertempuran tahun ini.
https://www.bharian.com.my/sukan ... umbangkan-juara-wbc |
|