View: 5298|Reply: 2
|
Setiap Hari Ada Kes Abai, Dera Melibatkan Bayi Dan Kanak-Kanak
[Copy link]
|
|
SHAH ALAM – Polis Selangor menerima laporan kes pengabaian dan penderaan melibatkan bayi serta kanak-kanak setiap hari.
Kecuaian pengasuh dan persekitaran tidak kondusif merangkumi tempat yang tidak selesa dan sesuai menyebabkan trend pengabaian kanak-kanak dan bayi terus berlaku sehingga menyebabkan ada mangsa yang meninggal dunia.
Situasi itu diburukkan lagi apabila premis tersebut merupakan pusat asuhan haram dan orang perseorangan yang menyediakan perkhidmatan menjaga kanak-kanak.
Gambar Hiasan
Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor merekodkan sebanyak 304 kes penderaan terhadap kanak-kanak pada 2021, manakala 297 (2022) dan 191 kes tahun ini setakat Julai lalu dengan kebanyakan mereka yang menjadi mangsa adalah berusia dua hingga enam tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan kes yang diterima, kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan mengalami sawan diikuti pendarahan otak.
Menurutnya, kebiasaannya kes-kes pengabaian dan penderaan dilaporkan oleh doktor yang memeriksa mangsa selepas kanak-kanak atau bayi dibawa ke fasiliti kesihatan tersebut bagi mendapatkan rawatan.
“Ada juga kes yang mana pengasuh menjaga lebih daripada jumlah kanak-kanak yang dibenarkan selain kekurangan kakitangan.
“Keadaan itu menyebabkan pengasuh tidak dapat memberikan perhatian yang cukup kerana perlu melakukan tugasan lain seperti memasak dan sebagainya.
“Kanak-kanak ini sekiranya dibiarkan ada antara mereka yang bergaduh sesama sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, mengikut nisbah, jumlah yang ditetapkan adalah 10 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun untuk seorang pengasuh bagi yang mengoperasikan taska seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagi orang perseorangan pula, jumlahnya adalah lima kanak-kanak atau kurang.
“Jika tidak dipatuhi, maka terjadilah keadaan yang mana kanak-kanak dihantar dalam keadaan sihat, tetapi pulang dengan kecederaan.
“Dalam kebanyakan kes, pihak hospital dapat menghidu keadaan mencurigakan sama ada berlakunya pengabaian atau penderaan,” ujarnya. -CARI
Sumber: Kosmo |
|
|
|
|
|
|
| |
|