View: 1091|Reply: 0
|
Ladang tuai pahala dunia, bekalan kehidupan di akhirat
[Copy link]
|
|
Ladang tuai pahala dunia, bekalan kehidupan di akhirat
BENCANA banjir yang melanda sejak kebelakangan ini antara ujian Allah SWT menguji tahap keimanan hamba-Nya.
Adakah kita terfikir, kenapa hidup ini penuh dengan ujian dan halangan? Kenapa hidup ini, Allah SWT tidak memberikan nikmat kegembiraan sepanjang hayat.
Setiap hamba-Nya, tentu ada ujian yang perlu ditempuhi, ujian kemiskinan, kesakitan sama ada luaran atau dalaman, pergaduhan dalam keluarga, bencana banjir, kebakaran, peperangan dan sebagainya.
Walaupun ada ketikanya kita melihat rakan gembira dan ceria setiap hari, namun itu hanya daripada pandangan kita, sebaliknya hanya dia yang mengetahui ujian dalam kehidupan.
Malah, jawapan kepada persoalan di atas, sudah dijawab Allah SWT dalam wahyu-Nya kepada Rasulullah SAW: "Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman dan dapat diketahui-Nya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta." (Surah Al Ankabut 29:2-3)
Maka, hasil daripada ujian ini, seperti Allah SWT menyaring hamba-Nya, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik keimanannya kepada Allah SWT.
Oleh itu, sebagai hamba, seharusnya mengambil peluang di atas apa sahaja dugaan, menjadikan ujian dan dugaan ini sebagai ladang pahala untuk menunjukkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Hakikatnya, Allah SWT menyediakan ladang yang luas kepada kita di dunia ini, untuk dijadikan saham di akhirat kelak. Namun, hanya mereka yang sedar dan beriman yang akan mengambil peluang ini, sebaliknya bagi mereka yang masih ragu-ragu dengan kehidupan selepas kematian, akan lalai dengan keindahan sementara di dunia ini.
Sudah pasti dalam sesuatu ujian itu, pelbagai sudut Allah SWT akan menilai seseorang hamba-Nya, antaranya daripada perspektif sifat seseorang hamba itu sendiri seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
Sabar adalah satu sifat mahmudah dan senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Orang yang sabar dengan kesusahan dan kepayahan hidup akan menghadapi ujian itu dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT ke atasnya.
Ujian datang dalam pelbagai bentuk pada kehidupan manusia, namun menghadapinya dengan tenang dan hati yang reda adalah kunci kesabaran. Setiap ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu adalah yang terbaik buat hamba-Nya.
Ketika ini, kita berada penghujung tahun, pastinya banyak negeri di Malaysia akan berdepan bencara banjir dan ribut akibat perubahan monsun. Bencana ini pastinya akan memberikan kesan kerosakan harta benda yang banyak sehingga ada yang kehilangan rumah, harta benda dan sebagainya. Bagi mereka yang tidak yakin dengan ketentuan Allah SWT, sudah tentu akan meratap dan kecewa dengan apa yang berlaku. Namun, bagi mereka yang yakin dan percaya dengan ujian Allah SWT, akan menghadapinya dengan penuh sabar dan tenang.
Rasulullah SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus kesalahannya." (Hadis Riwayat Imam Al Bukhari)
Setiap Muslim dituntut untuk mencari ilmu pengetahuan, ini kerana Islam adalah agama yang menekankan kepada penguasaan ilmu pengetahuan, bahkan al-Quran sendiri adalah mukjizat yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan.
Justeru, semoga dengan sedikit peringatan ini, dapat kita saling mengingati antara satu sama lain untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia, sekiranya kawasan kita terbabit dengan bencana banjir.
Peringatan ini juga, perlu diberikan perhatian oleh sukarelawan yang memberikan bantuan banjir supaya menjaga diri daripada berlaku musibah lain yang tidak dijangka seperti renjatan atau perkara lain serta sebagainya. Dalam satu hadis Rasulullah SAW menjanjikan bahawa mereka yang memudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan memudahkan urusannya di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Dan barang siapa yang melapangkan urusan seorang Muslim dari kesusahan, maka Allah akan melapangkan kesusahannya di hari akhirat kelak." (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya sebagai Muslim, dengan penuh yakin dan percaya, setiap yang berlaku, semuanya datang daripada Allah SWT, Sang Pencipta segala-segalanya di seluruh alam. Semestinya kita perlu sabar dan berserah diri dengan Allah SWT supaya perjalanan kehidupan kita akan menjadi lebih tenang kerana apabila kita menerima apa sahaja ujian dengan penuh reda, jiwa kita akan menjadi tenang walaupun dalam keadaan ditimpa musibah berat ataupun ringan.
Jangan meratap dan kecewa dengan kemusnahan harta benda ataupun berduka, sesungguhnya hakikat yang sebenar adalah Allah SWT ingin mengangkat darjat seseorang ke tempat yang lebih tinggi di sisi-Nya. Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang beriman dan berpegang teguh di jalan Allah SWT.
Penulis Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ehidupan-di-akhirat
|
|
|
|
|
|
|
| |
|