|
PUTRAJAYA- Seorang ibu membuat laporan polis, mendakwa anak perempuannya dicabul seorang guru lelaki berusia 50-an dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini pada pertengahan Oktober lalu.
Ibu mangsa dikenali sebagai Amira berkata, guru terbabit didakwa telah meraba tangan, belakang dan leher anaknya dalam sebuah bilik aktiviti di sekolah berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku ketika guru terbabit meminta beberapa pelajar termasuk anaknya untuk membantu tugas beliau di bilik aktiviti.
Gambar Hiasan
“Pada mulanya anak tidak mengesyaki apa-apa apabila guru itu menyentuh tangan dan merapatkan badannya. Namun selepas itu, dia mula menyentuh bahagian belakang menggunakan sikunya dan menyentuh leher dengan tangannya.
“Perbuatan guru itu semakin melampau apabila berdiri rapat dengan badan anak saya menyebabkan dia tidak selesa dan mula rasa takut,” katanya kepada Kosmo.
Mengulas lanjut, Amira berkata, berdasarkan keterangan rakan-rakan anaknya, kegiatan cabul itu sudah berlaku sejak Ogos sehingga Oktober lalu dan para pelajar hanya berani membuat laporan pada awal bulan ini kerana takut diugut guru terbabit.
Dia mendakwa, pelajar-pelajar lain yang pernah menjadi mangsa hanya berdiam diri kerana takut dikenakan tindakan.
“Susulan kejadian ini, anak saya mengalami trauma dan dinasihatkan doktor untuk tidak hadir ke sekolah buat waktu ini.
“Anak saya membuat aduan kepada pihak sekolah dan laporan polis dibuat oleh anak saya sendiri pada Jumaat lepas demi keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 November lalu yang dibuat pelajar itu sendiri.
Katanya, siasatan kes berkenaan masih dijalankan dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan.
“Siasatan masih dijalankan dan suspek telah diberi jamin dan merujuk kes ini kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (OCCI) untuk arahan,” katanya. –CARI
Sumber: Kosmo |
|