|
BEIJING: Seorang wanita di China memperdaya tiga lelaki dengan mengahwini mereka hanya untuk mendapatkan wang hampir AS$100,000 (RM472,781).
Oddity Central melaporkan, wanita dikenali sebagai Zhou, 35, mengahwini tiga lelaki itu dalam majlis berbeza meskipun dia dikatakan sudah berkahwin secara sah sebelum ini.
Zhou sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan ketika dia mula keluar berpacaran bersama lelaki lain dengan tujuan untuk menipu mereka.
Tidak dapat dipastikan punca wanita itu menjalani kehidupan berpura-pura.
Gambar Hiasan
Namun, berdasarkan laporan media tempatan, suami Zhou mempunyai perniagaan sendiri dan keadaan kewangan mereka juga berada pada tahap baik.
“Salah satu faktor Zhou mampu menguruskan empat lelaki selama beberapa tahun adalah disebabkan suaminya sentiasa sibuk dengan kerja dan tidak terlalu memberi perhatian terhadap isterinya,” jelas laporan itu.
Zhou mula mencari calon suaminya sejak beberapa tahun lalu, malah rupa parasnya yang menawan dan comel membuatkan tiga lelaki berkenaan terpikat dengannya, selain mudah tertipu dengan niat sebenarnya.
“Zhou keluar dengan ketiga-tiga lelaki tersebut pada masa yang sama, meluangkan masa bersama mereka tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka terhadap suaminya, sebelum meminta mangsa berkahwin dengannya.
“Malah, Zhou meminta lelaki berkenaan mengadakan majlis perkahwinan agar dia boleh membolot wang tunai dan hadiah daripada tetamu yang hadir,” jelas laporan.
Bagaimanapun, helah Zhou gagal pada tahun lalu apabila wanita itu cuba menipu banyak wang daripada salah seorang lelaki dikahwininya yang bernama Zhang, dengan memaklumkan bahawa dia sedang mengandung anaknya.
Zhou memberitahu Zhang bahawa dia mahu bersalin di kediaman ibunya di sebuah bandar lain dan memintanya untuk membayar semua perbelanjaan itu.
“Zhang mula mengesyaki sesuatu tidak kena dan melakukan pemeriksaan latar belakang Zhou. Dia terkejut setelah mengetahui wanita itu sebenarnya sudah berkahwin sebelum ini,” jelas laporan.
Selepas mendapat tahu mengenai kehidupan rahsia wanita itu, Zhang bertindak menceraikan Zhou pada April lalu dan membuat laporan polis.
Zhou kini berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun kerana penipuan memandangkan siasatan mendedahkan wanita itu menipu tiga lelaki tersebut sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian sekurang-kurangnya 660,000 yuan (RM427,697). -CARI
Sumber: Utusan |
|