BUKIT MERTAJAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) merampas 76.1 kilogram (kg) karkas kambing sejuk beku dipercayai untuk jualan tempahan sempena perayaan Deepavali di sebuah premis ternakan di Bukit Minyak di sini, pagi tadi.
Rampasan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa JPVPP yang mengadakan pemeriksaan rutin harian kira-kira jam 10.15 pagi ke atas premis itu.
Pengarahnya JPVPP, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata hasil pemeriksaan awal ke atas premis yang diusahakan oleh warga tempatan itu menemukan beberapa karkas dipercayai kambing di dalam peti sejuk beku.
"Karkas sejuk beku itu disyaki bukan disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau yang dilesenkan.
"Oleh itu rampasan dibuat terhadap karkas berkenaan dan dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan karkas kambing sejuk beku itu dianggarkan RM3,000.
Kes disiasat mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah binatang (Kawalan penyembelihan 2009).