ALOR SETAR: Cubaan menyeludup 40,000 liter minyak diesel menggunakan lori tangki ke negara jiran, digagalkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di sini, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata serbuan dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3 petang terhadap sebuah stor di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, KPDN Kedah menyita lori tangki berkenaan yang mengandungi barang kawalan iaitu minyak diesel yang dianggarkan lebih 40,000 liter.
"Turut disita adalah pam dan peralatan memindah diesel di tempat kejadian.
"Kami turut menahan pemandu lori tangki iaitu warga Thailand dan penjaga stor warga tempatan. Kedua-duanya berusia sekitar 30-an untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Affendi berkata, hasil operasi bersama itu berjaya menyelamatkan bahan kawalan yang dianggarkan bernilai RM142,705.50 itu dari dibawa masuk ke negara jiran.
Katanya, selain itu lori tangki berkenaan turut disita dan dianggarkan bernilai RM130.780.
"Ini menjadikan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM273,485.50.
"Modus operandi sindiket ini dipercayai memindahkan diesel daripada lori tangki tempatan kepada lori tangki bernombor pendaftaran Thailand bagi memudahkan urusan rentas sempadan negara dilakukan.
"Siasatan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta yang sama boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Affendi berkata, bagi kesalahan yang kedua pula boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua bolrh didenda tidak melebihi RM5 juta.
"KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.
"Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).
"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi," katanya.
Affendi berkata, orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran-saluran seperti portal e-aduan 2.0
http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, E-mel
[email protected] dan Aplikasi EZ ADU KPDN.
Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 atau Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.