|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/CAPLUS_1698734530.jpg)
Seramai 10 individu berusia 21 hingga 33 tahun diiringi polis di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengiklankan khidmat persundalan secara dalam talian menerusi laman web berpangkalan di Australia. FOTO AMINAH YUSOF
Balik Pulau: Sepuluh individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengiklankan khidmat persundalan secara dalam talian menerusi laman web berpangkalan di Australia.
Kesemua tertuduh, Soay Say Hean, Teh Hang Wei, Karen Tang Xin Ying, Lay Cheak Joe, Jack Oon Han Jie, Lee Suet Yee, Beh Shing Ping, Ang Hooi Qian, Lim Shin Ghee dan Beh Shin Yuan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca serentak di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 21 tahun hingga 33 tahun terbabit secara bersama di sebuah premis komersil di Bayan Baru, mengiklankan khidmat persundalan secara dalam talian di sebuah laman web kira-kira jam 5.30 petang, pada 20 Oktober lalu.
Dalam hal ini, secara munasabah laman web terbabit boleh difahami sebagai laman web yang menawarkan khidmat persundalan bagi mana-mana orang yang memasuki platform dalam talian berkenaan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan selain boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong manakala kesemua tertuduh, kecuali Karen Tang Xin Ying, diwakili peguam, C Pang.
Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh serta memohon tiga syarat tambahan iaitu semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Pang memohon kadar itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana semua anak guamnya mempunyai tanggungan manakala K Selva yang mewakili Tang Xin Yin berkata, anak guamnya berusia 21 tahun baru sebulan bekerja di premis terbabit sebagai kerani dan menerima gaji kurang daripada RM2,000.
Mahkamah membenarkan permohonan syarat tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan menetapkan wang jaminan RM6,500 berserta seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 22 Oktober lalu, media melaporkan, polis menahan 11 individu dalam serbuan ke atas premis komersil di Bayan Baru, dekat sini yang dijadikan pusat panggilan sindiket menawarkan khidmat pelacur yang beroperasi di Australia.
Modus operandi sindiket yang berperanan sebagai orang tengah menerusi laman web berpangkalan di Australia bagi mengiklankan aktiviti pelacuran menyasarkan pelanggan di negara terbabit mampu mengaut bayaran komisen hampir RM1 juta sebulan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ndalan-di-laman-web |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|