View: 1341|Reply: 0
|
Perangai buruk Yahudi menurut al-Quran dan hadis
[Copy link]
|
|
Perangai buruk Yahudi menurut al-Quran dan hadis
KEPULAN asap dan api selepas serangan Israel di Gaza.
Antara perkara menarik sepanjang krisis Palestin dan Israel ialah tindakan Rabbi Yisroel Dovid Weiss, jurucakap satu komuniti Yahudi Amerika menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel ke atas tanah mereka.
Menurutnya, bangsa Yahudi kini sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu Judaisme yang menganut fahaman Yahudi asal dan Zionisme yang bersifat nasionalisme serta berjuang demi penubuhan negara Israel.
Dia mendedahkan, Zionisme baru sahaja muncul kira-kira 150 tahun lalu dan apa dilakukan oleh mereka sebenarnya bertentangan dengan ajaran kitab Taurat yang menghendaki mereka duduk secara bertebaran di pelbagai tempat di atas muka bumi.
Meskipun berlaku perbezaan fahaman ini, hakikatnya sifat radikal dan ekstrem bangsa Yahudi bukan baharu wujud selepas kemunculan Zionisme. Sifat radikal dan ekstrem ini sudah wujud dalam bangsa Yahudi itu sendiri sejak dahulu lagi. Terdapat pelbagai dalil al-Quran yang menunjukkan sikap keras mereka ini. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik." (Surah al-Maidah: 82)
Maka itu, mereka dimurkai oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Demikian itu disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat Allah (perintah dan mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya) dan mereka pula membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh." (Surah al-Baqarah: 61)
Sifat buruk orang Yahudi juga direkodkan dalam banyak hadis Nabi SAW. Antaranya, mereka suka mengambil peluang untuk mendoakan kecelakaan terhadap baginda SAW. Kata Aisyah RA: "Sekumpulan orang Yahudi pernah datang berjumpa Nabi SAW, lalu mereka berkata dalam nada memberi salam: 'As-samu 'alaik (maksudnya, kematian atas kamu)'. Lantas aku pun melaknat mereka. Namun, baginda menegur: 'Apa kena denganmu?' Jawabku: 'Tidakkah kamu dengar apa yang mereka ucapkan?' Balas baginda: 'Tidakkah juga kamu dengar apa yang aku ucapkan sebagai membalasnya: Wa'alaikum (maksudnya, juga atas kamu sekalian).'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana orang Yahudi dahulu membunuh ramai nabi, baginda SAW juga tidak terlepas daripada cubaan bunuh oleh mereka. Antaranya, baginda SAW pernah disihir seorang Yahudi daripada Bani Zuraiq bernama Labid bin al-A'sam sehingga Allah SWT mengutuskan dua malaikat untuk membantu kesembuhan baginda.
Akhirnya, bahan yang digunakan untuk menyihir baginda dikeluarkan daripada telaga Zarwan dan kemudian memerintahkan supaya telaga itu ditimbus. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW juga pernah cuba diracun oleh orang Yahudi selepas peristiwa Perang Khaibar dengan menghadiahkan kepada baginda hidangan daging kambing yang dibubuh racun. Lantas baginda mengumpulkan semua orang Yahudi yang ada, kemudian bertanya: "Adakah kamu meletakkan racun pada kambing ini?" Mereka menjawab: 'Ya'. Baginda bertanya lagi: 'Apakah yang menyebabkan kamu berbuat demikian?'. Mereka menjawab: 'Kami ingin tahu sekiranya kamu seorang pendusta, maka kami dapat tenang dengan kematianmu. Namun, sekiranya kamu seorang nabi, maka ia tidak akan memudaratkanmu.'" (Riwayat al-Bukhari)
Antara sifat buruk orang Yahudi juga ialah suka menggunakan helah untuk melanggar hukum yang disyariatkan kepada mereka. Daripada 'Umar bin al-Khattab RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Semoga Allah melaknat orang Yahudi. Setelah diharamkan ke atas mereka lemak haiwan, maka mereka telah mengolahnya (dengan mencairkannya), lalu menjualnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perangai buruk mereka ini juga dirakam jelas dalam al-Quran tatkala mereka dilarang menangkap ikan pada Sabtu. Namun, mereka menggunakan helah dengan memasang jaring sebelum Sabtu dan mengambil ikan yang terperangkap pada jaring itu selepas tamat hari berkenaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air. Sedangkan pada hari lain, ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik." (Surah al-A'raf: 163)
Terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW berkaitan sifat radikal, degil serta perangai buruk orang Yahudi ini yang menunjukkan unsur 'Zionisme' sudah pun wujud lama sebelum munculnya fahaman itu.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -al-quran-dan-hadis
|
|
|
|
|
|
|
| |
|