|
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (kiri), penjaga gol Andre Onana dan penyerang Rasmus Hojlund kelihatan kecewa selepas tunduk 3-0 di tangan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. FOTO REUTERS
Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mendakwa sepakan penalti yang diberi secara kontroversi pada pertengahan babak pertama mengubah haluan perlawanan hingga menyebabkan pasukannya tumbang 0-3 di tangan jiran tetangga, Manchester City.
Jelas Ten Hag, kekalahan di depan penyokong sendiri di Old Trafford itu boleh dielakkan jika pelawat tidak memperoleh sepakan penalti yang kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Erling Haaland.
Malah katanya, pemainnya juga harus dipersalahkan kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang menjaringkan gol.
"Kami bermain amat bagus pada babak pertama, kami bertahan dengan cemerlang. Kami ada peluang baik tetapi kami gagal mengambil peluang itu.
"Kemudian sepakan penalti mengubah perlawanan," kata pengendali yang berasal dari Belanda itu sekali gus menyaksikan United gagal meneruskan momentum kemenangan selepas meraih enam mata dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris sepanjang bulan ini.
Kekalahan kelima dalam 10 perlawanan liga musim ini menyaksikan United merudum ke tangga kelapan, 11 mata berbanding pendahulu, Tottenham.
Penyerang prolifik City, Erling Haaland menyumbat dua gol masing-masing menerusi sepakan penalti dan tandukan di minit 26 dan 49, sebelum Phil Foden mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-80.
Sebelum perlawanan bermula, pemergian legenda United Bobby Charlton sekali lagi diingati dengan kedua-dua pasukan dan penyokong bertafakur selama seminit di mana Charlton meninggal dunia pada usia 86 tahun pada minggu lalu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... and-punca-kekalahan |
|