BUKIT MERTAJAM: Allahyarham Badrul Muhayat yang meninggal dunia ketika tidur pagi tadi sering bercakap soal kematian sejak sebulan lalu.
Rakan rapatnya, Zazly Baginda berkata, arwah pernah menceritakan bahawa dirinya seolah-olah hendak pergi meninggalkan dunia ini ketika berbual dengannya.
"Arwah sangat rapat dengan saya dan dia pernah sebelum ini cakap bahawa dirinya macam nak mati.
"Dia banyak sangat cakap soal mati," katanya hari ini.
Sementara itu, berita pemergian mengejut pelakon terbabit turut memberi tamparan besar kepada rakan artis lain yang berkecimpung bersama aktor berkenaan suatu ketika dahulu.
Bagi Nadia Kesuma, dia bersama beberapa rakan artis, termasuk Allahyarham Badrul pergi ke Pulau Pinang untuk menyertai karnival dianjurkan UDA Holdings Bhd (UDA) di Jalan Baru, Perai, dekat sini yang bermula kelmarin.
"Kami berada di sini (Pulau Pinang) sejak Khamis lalu dan sepanjang tempoh ini arwah tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia mengalami masalah kesihatan.
"Saya tahu arwah ada menghidap penyakit kencing manis namun keadaannya semakin sihat berbanding dahulu," katanya.