|
Peluang Liek Hou rampas emas esok
LIEK Hou fokus untuk bermain dengan baik dan memenangi emas pada aksi final, esok. FOTO ARKIB NSTP
Hangzhou: Selepas gagal merangkul pingat emas pada edisi lalu, jaguh badminton para dunia, Cheah Liek Hou berpeluang menebus kekecewaan itu apabila melangkah ke final acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Para Asia 2022.
Ia selepas pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu, tenang menundukkan pemain ranking keempat dunia dari Taiwan, Fang Jen Yu menerusi keputusan straight set 21-7, 21-9 pada aksi separuh akhir di Gimnasium Binjiang, di sini, hari ini.
Liek Hou memenangi emas pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan merangkul gangsa pada edisi 2018 Jakarta-Palembang.
"Agak gembira sebab saya dapat main ikut rentak dimahukan biarpun sedikit keletihan hari ini.
"Apapun saya tidak mahu terlalu memikirkan soal emas esok, sekarang sudah masuk final dan setiap pemain ada tahap mereka, jadi saya akan fokus pada setiap pukulan selain pastikan dalam keadaan terbaik untuk esok," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, tugas getir menanti pemain ranking pertama dunia itu apabila dijadual bertemu seteru utamanya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi di pentas final esok.
Dheva mara selepas menewaskan rakan senegaranya, Suryo Nugroho 21-11 dan 21-10 di separuh akhir.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ou-rampas-emas-esok
|
|