|
Semangat tak pernah pudar
ABDUL Latif buru emas ketiga berturut-turut.
Kuala Lumpur: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mengakui tidak berada dalam prestasi terbaik menjelang temasya Sukan Para Hangzhou yang bakal membuka tirainya Ahad ini.
Bagaimanapun, Abdul Latif berkata, semangatnya tidak pernah pudar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya buat kali ketiga berturut-turut di Hangzhou.
"Sekarang keadaan saya tak 100 peratus cergas sebab sebelum ini ada mengalami kecederaan di Kejohanan Dunia (Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023). Untuk cergas 100 peratus memang agak sukar sikit.
"Kecederaan ini tidaklah sampai mengganggu saya ketika sesi latihan. Masih boleh lakukan rutin seperti melompat dan sebagainya, jadi tiada masalah," katanya yang mengalami kecederaan di pangkal paha.
Jelas atlet berusia 26 tahun itu, dia yakin mampu memenangi pingat di Sukan Asia Hangzhou namun misi utamanya adalah untuk mempertahankan emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Jakarta, Indonesia.
Abdul Latif juga memenangi emas kali pertama pada temasya Sukan Asia Incheon, Korea Selatan 2014.
"Saya lihat antara pencabar saya adalah peserta dari Arab Saudi di mana ketika di Kejohanan Dunia dia mendapat tempat keempat. Selain itu peserta dari Jepun juga mampu berikan cabaran," katanya.
Untuk rekod, Abdul Latif sudah pun menempah slot secara merit ke Sukan Paralimpik 2024 selepas muncul juara kategori T20 (kecacatan intelektual) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... at-tak-pernah-pudar
|
|