|
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menikam ibunya yang sedang tidur di rumah sehingga mati.
Kejadian yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu menyaksikan suspek Derek Rosa bertindak menghubungi polis bagi melaporkan sendiri mengenai jenayah dilakukan.
Jurucakap jabatan polis Hialeah, Eddie Rodriguez, menyatakan remaja berkenaan memaklumkan dia baru sahaja membunuh ibunya.
Foto: Agensi
Susulan daripada itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan menjumpai mayat wanita tersebut, Irina Garcia, 39 di dalam bilik tidur.
Lebih memilukan, mayat berkenaan ditemui tidak jauh daripada tempat tidur yang menempatkan bayinya yang baru dilahirkan.
Pihak berkuasa berkata, mereka percaya Derek terlebih dahulu menunggu sehingga ibunya tertidur sebelum bertindak menikam bertalu-talu ibunya sehingga maut.
Dalam kejadian berlaku sekitar pukul 11.30 malam Khamis lalu, suspek dipercayai tinggal bersama ibu dan adik tirinya di kediaman tersebut manakala bapa tirinya yang merupakan seorang pemandu trak difahamkan berada di Georgia ketika kejadian tragis itu berlaku.
Eddie berkata, Derek dilihat sangat tenang dan sopan ketika menyerahkan diri kepada pihak polis yang tiba di lokasi.
Suspek merupakan pelajar gred lapan di sekolah iMater Charter juga digambarkan sebagai murid cemerlang yang selalu mendapat kesemua A dalam peperiksaan yang dihadapi.
Foto: Agensi
Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod sejarah masalah kesihatan mental dan dia juga dipercayai memiliki hubungan baik dengan bapa tirinya.
Seorang jiran yang ditemui turut memberitahu media, Local 10 bahawa Derek merupakan seorang anak yang dilihat 'sentiasa bersama ibunya' dan kelihatan 'tenang'.
"Dia akan membantu ibunya membawa bungkusan atau beg membeli-belah.
"Saya tidak pernah melihat sesuatu yang tidak normal dalam sikapnya. Saya tidak pasti bagaimana tragedi sebegini boleh berlaku," ujar jiran tersebut
Sementara itu, pihak penyiasat dilaporkan masih belum mengenal pasti motif pembunuhan kejam tersebut.
Eddie berkata, remaja berkenaan masih tidak memberikan maklumat mengenai punca menyebabkannya melakukan perbuatan tersebut.
Susulan daripada itu, Derek yang sudah didakwa atas pembunuhan berkenaan dibawa ke pusat tahanan bawah umur.
Dia kemudian turut dilaporkan dibawa ke hospital selepas dipercayai membuat ancaman untuk mencederakan diri. —CARI
Sumber: Majoriti |
|