CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2745|Reply: 0

Anak soleh penyambung pahala

[Copy link]
Post time 18-10-2023 07:49 AM | Show all posts |Read mode
Anak soleh penyambung pahala





SETIAP manusia perlu memanfaatkan waktu berharga dengan amalan ketika sihat.


Orang yang beriman dan tunduk patuh kepada perintah Allah pastinya akan mengupayakan dirinya untuk melaksanakan semaksimum yang terdaya amal ibadah dan amalan soleh demi mengharapkan ganjaran pahala di sisi Allah. Koleksi pahala yang banyak yang terisi dalam tabung akhirat akan menjadikan bekalan yang akan dibawa menuju alam yang kekal abadi, alam akhirat.

Dalam kategori amalan soleh yang digariskan oleh Islam, terdapat beberapa gerakan amal yang memberikan impak yang terus berkembang mengalirkan pahala, meskipun kita sudah meninggalkan dunia yang fana ini. Aktiviti berpahala panjang inilah sewajarnya kita rebut untuk melaksanakannya.

Rasulullah SAW memperingatkan kita supaya memanfaatkan lima waktu berharga yang antaranya ialah menggunakan waktu hidup sebelum mati. Jangan sampai rasa penyesalan penuh membara tatkala diri dilanda sakit, baru beringat untuk melakukan amal soleh, dan yang lebih parah lagi penyesalan apabila penyesalan terjelma hanya di gerbang kematian.

Rasulullah SAW juga mengingatkan agar mempersiapkan diri dengan amalan yang ganjaran pahalanya terus mengalir meskipun roh kita sudah berpisah daripada jasad. Lalu dan seringlah menziarahi tanah perkuburan saudara-mara dan sahabat tercinta kita yang sudah tiada. Lalu bacalah al-Fatihah buat mereka sambil menghadiahkan doa untuk keampunan dan memohon kesejahteraan kepada Allah buat mereka.

Namun, tidak cukup berbekas di hati dan tidak berkesan di jiwa seandainya itu sahaja yang kita lakukan. Ini kerana apa yang paling mustahak buat kita yang hidup ini ialah pengajaran daripada kubur yang kita ziarahi itu.

Bermonolog sejenak sambil meneliti hakikat diri, bagaimana untung nasib kita seandainya pada waktu diri kita yang berada di alam barzakh. Tiada siapa yang menemani kita. Tiada anak isteri, tiada lagi saudara mara dan tiada lagi teman sahabat. Tinggal kita keseorangan yang 'bertemankan' bekalan amalan semasa kita hidup dahulu.

Sebab itulah semasa hayat masih di badan, tenaga masih berupaya, akal masih beroperasi, kita pergiatkan inisiatif mencorakkan ilustrasi kehidupan dengan amal ibadah dan amalan soleh.

Ingatkah kita akan pesanan Rasulullah SAW bahawa apabila meninggalnya seseorang insan bermakna terputuslah ruang dan peluang untuk beramal? Cuma baginda SAW memberitahu kita bahawa terdapat tiga khazanah warisan yang akan membantu kita seolah-olah ketiga-tiga yang kita tinggalkan di dunia yang sementara ini menjadi 'talian hayat' yang sentiasa online mengalirkan pahala buat kita.

Apakah tiga pusaka berharga yang patut kita tinggalkan di dunia? Abu Hurairah memberitahu bahawa sahabat agungnya, Rasulullah SAW pernah berkata, "Kalau seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi).

Jadi inilah tiga perkara utama yang perlu kita optimumkan pelaksanaannya semasa hidup dan inilah sumber bekalan yang kita akan bawa bersama ke alam barzakh dan seterusnya untuk diperhitungkan di Padang Mahsyar kelak.

Melaksanakan tiga perkara tadi bermakna kita menyediakan 'saluran' pahala yang berkekalan, malah baginda SAW pernah sekali lagi mengingatkan kita semua akan hal dalam hal ini sebagaimana katanya: "Perkara yang akan menyusul orang yang beriman setelah meninggal daripada amal kebaikannya, adalah ilmu yang diajarkan dan disebarkan serta anak soleh yang dia tinggalkan atau sebuah mushaf yang dia wariskan atau sebuah masjid yang ia bangun atau sebuah rumah yang dia bangun untuk ibnu sabil atau sungai yang dia buat atau sedekah yang dia keluarkan daripada hartanya sendiri ketika masih sihat, semua akan menyusul setelah ia meninggal dunia." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sesiapa sahaja berupaya menyediakan perkara itu mengikut keupayaan masing-masing. Malah, tidak kurang juga dalam kalangan kita berkemampuan menyediakan semua kategori khazanah warisan dunia buat bekalan akhirat.

Misalnya, seseorang ibu bapa perlu sediakan anak mereka didikan agama dan akhlak bersejajaran dengan lunas agama. Tatkala mereka membesar dan dewasa, segala didikan murni mereka amalkan, sudah tentu aliran pahala akan terus berkembang meskipun kita sudah tiada di sisi mereka.

Di dunia ini, biarlah kita sebagai ayah mahupun ibu berhempas- pulas membimbing anak demi mengisikan jiwa mereka dengan ketinggian akidah yang benar dan memampatkan hati mereka dengan akhlak yang terpuji. Ini kerana segala letih penat kita selama di dunia akan diberikan ganjaran pahala berterusan berkat kehadiran anak kita yang soleh, warak lagi berakhlak murni.

Apatah lagi, anak yang terdidik dalam acuan beragama yang kukuh akan menjadikan mereka sentiasa ingat kepada kita, lantas doa dan munajat kepada Tuhan mereka agar disejahterakan kita di alam sana nanti, insyaAllah. Jadi, didiklah anak kita dengan ajaran beragama yang utuh.

Demikian jugalah dengan sedekah jariah. Lazimkanlah diri dengan budaya suci ini, tetapi apa yang perlu kita ingatkan ialah sedekah itu mestilah dari sumber yang halal kerana Allah tidak sekali-kali akan menerima sedekah yang bersumberkan yang haram.

Seperkara lagi yang juga sangat perlu kita insafi bahawa ruang lingkup pengertian sedekah sangat luas dan terbuka kepada semua insan. Sedekah bukanlah bentuk amalan kebaikan yang didominasikan dan dimonopoli oleh golongan kaya dan berharta sahaja. Semua insan mampu bersedekah bergantung pada keupayaan yang dimiliki.

Tidak boleh dengan harta benda, kita boleh bersedekah melalui ilmu pengetahuan dan tunjuk ajar kemahiran yang bermanfaat buat insan lain.

Tidak mampu juga, kita boleh sedekah bantuan tenaga kita dalam membantu golongan yang memerlukan. Lihat semasa musim banjir, para sukarelwan, mereka mengorbankan masa, tenaga dan nyawa demi bersama merasai detik-detik cemas mangsa banjir. Ini juga elemen bersedekah sebenarnya.

Justeru, mari kita renungi dan bermuhasabah diri, apakah selama ini tiga kategori perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai saluran pahala yang akan terus mengalirkan pahala buat kita telah dan sedang kita laksanakan.

Jika belum, kita tidak wajar mendiamkan diri menunggu saat akhir kehidupan, sebaliknya bersegera mengorakkan langkah untuk mengaktifkan diri mempersiapkan diri dengan saluran talian hayat alam akhirat itu.



Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... h-penyambung-pahala

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 02:31 PM GMT+8 , Processed in 1.269303 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list