|
AKSI Ronaldo ketika bertemu Portugal bertemu Slovakia pada kempen kelayakan Euro 2024. FOTO AFP
London: Cristiano Ronaldo mendahului senarai pemain bola sepak dunia menerima bayaran tertinggi pada 2023 dengan anggaran pendapatan £214 juta (RM1.22 bilion), menurut Forbes.
Perpindahan pemain berusia 38 tahun itu ke Al-Nassr tahun lalu memulakan penghijrahan barisan pemain bintang berprofil tinggi dari Eropah ke Negara Teluk.
Ronaldo, yang juga penjaring terbanyak dan nama terbesar di Liga Pro Saudi, menerima ganjaran lumayan atas usahanya dan dilaporkan memperoleh lebih daripada dua kali ganda pendapatan Kylian Mbappe pada tahun lalu.
Forbes menganggarkan penyerang Portugal itu memperoleh kira-kira £164 juta (RM939.9 juta) daripada kelabnya untuk usahanya di atas padang dan £49 juta (RM280.8 juta) lagi daripada usaha di luar padang.
Ronaldo muncul dalam video mempromosikan Hari Kebangsaan, dan untuk pertarungan Tyson Fury yang akan datang menentang Francis Ngannou di Riyadh.
Ronaldo adalah salah satu daripada empat bintang Liga Pro Saudi yang menduduki kelompok 10 teratas bersama Neymar, Karim Benzema dan Sadio Mane, masing-masing di tempat ketiga, kelima dan kelapan.
Perpindahan Lionel Messi ke Inter Miami pada Julai lalu menyaksikannya menduduki tempat kedua dengan pendapatan £111 juta (RM636.1 juta), kurang lebih £100 juta (RM573.1 juta) daripada Ronaldo.
Neymar tidak jauh ketinggalan dengan pendapatan £92 juta (RM527.2 juta), iaitu lebih sedikit berbanding bekas rakan sepasukannya, Mbappe.
Erling Haaland yang menerima pendapatan tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL), menduduki tempat keenam dengan anggaran pendapatan £48 juta (RM275.1 juta) manakala pemain Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan memperoleh £44 juta (RM252.1 juta).
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... m122-bilion-setahun |
|