GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang berharap kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijadual bermula September tahun depan dapat dilaksanakan lebih awal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu meskipun projek berkenaan tersenarai dalam Belanjawan 2023 seperti dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu.
"Walaupun pada awal tahun ini sudah diumumkan, namun terkini kita dapat jawapan daripada Parlimen, ia hanya boleh dilaksanakan menjelang September tahun depan.
"Ini mungkin ada sedikit kecewa memandangkan LTAPP sudah terlalu sesak," katanya di Dewan Sri Pinang, hari ini.
Kon Yeow menyifatkan projek di bawah Kerajaan Persekutuan itu sebagai projek mendesak, selain khuatir kelewatan pembesaran LTAPP akan memberi imej buruk kepada pelabur dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
"Kita bangga Pulau Pinang sebagai hab sektor elektrik dan elektronik (E&E) bertaraf antarabangsa, tetapi apabila sampai ke lapangan terbang, ia tidak membayangkan standard itu.
"Jadi kita berharap kerja pembesaran LTAPP dapat disegerakan dan dibawa ke hadapan sikit (dibuat lebih awal) berbanding tempoh berkenaan," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow turut menyambut baik langkah kerajaan yang akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak, bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster E&E di wilayah utara.
"Bagi kita ini bukan satu persaingan, jadi dengan limpahan pelaburan ke Perak Utara, ia sebenarnya memperkukuhkan ekosistem kita dan memperluaskan rantau industri ini dari sebahagian Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara.
"Ini secara langsung akan membawa pembangunan kepada koridor utara yang yang saya percaya Pulau Pinang boleh menjadi enjin penggerak dan kami berharap kita menjadi destinasi pelaburan asing yang semakin menarik," katanya.
Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 berkata, pembukaan kawasan perindustrian baharu itu dibuat selepas kawasan Perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah, yang menghimpunkan syarikat terkemuka dunia dalam sektor E&E.
Beliau berkata, pembukaan kawasan perindustrian baharu itu adalah antara usaha kerajaan untuk terus memperhebat usaha meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.