View: 2571|Reply: 0
|
FAM lantik Garrido pengendali skuad B-23
[Copy link]
|
|
FAM mengumumkan Juan Torres Garrido sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang baharu. - Foto FB FAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Juan Torres Garrido sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang baharu bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April tahun hadapan.
Pengendali dari Sepanyol itu menggantikan tempat E Elavarasan yang melepaskan jawatan pada 18 September lalu untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih skuad senior Harimau Malaya.
Garrido yang berusia 43 tahun sebelum ini berperanan sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 bagi membantu Elavarasan sejak September tahun lalu.
Beliau pernah memikul tugas sebagai ketua pencari bakat bagi FC Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, sebelum dia menjadi ketua bola sepak remaja profesional (B-23) kelab Granada CF di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.
Selain itu, FAM turut mengumumkan pelantikan bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan yang baharu bagi membantu Garrido.
Shukor mengatasi tiga bekas pemain kebangsaan yang turut melalui proses temuduga bagi jawatan itu termasuk Nidzam Jamil, Rusdi Suparman dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Shukor bagaimanapun hanya secara rasmi akan memegang jawatan itu selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC ketika ini berakhir.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan pelantikan Garrido dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk mendapatkan pandangan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam usaha memantapkan lagi skuad B-23.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM bagaimanapun menjelaskan belum ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan ke atas Juan Torres.
Sementara itu, Garrido menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah untuk melakukan perancangan terbaik sebagai persiapan pasukan bagi menghadapi kejohanan akan datang terutama Piala Asia B-23.
"Sudah pasti kami akan memberi fokus kepada kejohanan yang akan datang yang mana ia sangat penting kepada pasukan dan FAM.
"Kami akan cuba buat yang terbaik termasuk dari segi persiapan. Saya fikir Shukor dapat memberi sumbangan yang baik berdasarkan keupayaannya selain dia juga menjadi inspirasi kepada pemain," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ngendali-skuad-b-23 |
|
|
|
|
|
|
| |
|