|
HAMIDIN MOHD. AMIN
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan menerima pelawaan Indonesia dan Australia untuk membida tuan rumah bersama Piala Dunia 2034.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mereka tidak berganjak dengan pendirian menyokong bidaan Arab Saudi untuk edisi ke-25 kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
“Saya nafikan dan Malaysia tidak akan membida. Kami memberi sokongan penuh kepada Arab Saudi,” kata Hamidin ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir mendedahkan, negara itu sedang berunding dengan Australia untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2034, dan akan melibatkan Malaysia serta Singapura.
Perbincangan itu diadakan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu menjemput semua ahli gabungan dari Asia dan Oceania mengemukakan bidaan.
“Kami sedang berbincang dengan Australia.
“Ketika saya melawat Malaysia dan Singapura kedua-dua negara menyatakan minat untuk menyertai Indonesia dan Australia,” kata Erick Thohir yang dipetik dalam akhbar Australia, Sydney Morning Herald.
Erick percaya, jika Indonesia dan Australia bergabung dengan Malaysia serta Singapura, peluang untuk memenangi bidaan lebih tinggi berbanding Arab Saudi kerana negara Asia Barat baru menganjurkan kejohanan itu di Qatar tahun lalu.
MALAYSIA sebelum ini menyatakan sokongan kepada Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
“Kami agak kuat (untuk menang). Saya fikir FIFA akan melihat Asia Barat telah menjadi tuan rumah di Qatar tahun lalu. Jepun dan Korea juga pernah menjadi tuan rumah. Saya pasti FIFA akan mencuba negara lain.
“Potensi untuk menang jika kami menyertai Australia, Malaysia dan Singapura juga lebih besar,” katanya.
Jumaat lalu, Hamidin menyatakan sokongan terhadap Arab Saudi sejurus selepas negara itu menghantar surat penawaran rasmi kepada FIFA.
Tarikh tutup bidaan adalah 31 Oktober ini.
Selepas mengumumkan Sepanyol, Maghribi dan Portugal sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2030, FIFA menjemput Asia dan Oceania untuk membida edisi 2034.
Piala Dunia 2026 yang akan menampilkan 48 pasukan buat kali pertama bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Dalam pada itu, FAM kini memasuki fasa kedua Peta Hala Tuju atau ‘Roadmap’ yang dinamakan F:30 dengan misi utama menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.
F:30 itu terbahagi kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia.
Fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... a-piala-dunia-2034/ |
|