|
Sabah FC enggan putih mata
KIM Swee ketika sidang media hari ini.
Kuala Lumpur: Sabah FC tidak mahu berputih mata pada aksi kedua Kumpulan H saingan Piala AFC apabila dijadual turun berdepan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali, Indonesia malam esok.
Jelas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan atau setidak-tidaknya seri biarpun mengakui PSM Makassar adalah sebuah pasukan yang liat untuk ditewaskan.
Namun dengan persiapan rapi dilakukan termasuk tiba di Bali sejak tiga hari lalu, beliau percaya anak buahnya sudah bersedia untuk melakar keputusan positif di gelanggang lawan itu.
"Perkara posiitif adalah apabila kami tiba lebih awal, dan sudah tentu ia membantu terutama dalam persediaan kami, di mana saya selalu katakan bukan mudah untuk berdepan PSM Makassar.
"Di mana kami tahu walaupun mereka tidak begitu baik dalam liga (Liga 1 Indonesia), tapi sudah tentu mereka mahu bangkit dalam Piala AFC ini.
"Kami kena pastikan kami berada pada tahap terbaik dan saya mahu pemain tunjukkan karaktor masing-masing untuk kami capai objektif yang kami mahukan " katanya pada sidang media praperlawanan di Bali, hari ini.
Untuk rekod, Sabah FC memulakan kempen Piala AFC dengan langkah kanan apabila menundukkan kelab Singapura, Hougang United 3-1 pada 21 September lalu di Stadium Likas.
Manakala nasib berbeza dialami PSM Makassar yang tumbang 3-0 di tangan Hai Phong FC dari Vietnam pada aksi pertama di Hanoi.
"Buat masa ini kami tiada masalah kecederan berpanjang dalam pasukan dan secara keseluruhan kami dapat bawa barisan terbaik di sini," tambah Kim Swee yang bakal menurunkan barisan terbaik nanti.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... c-enggan-putih-mata
|
|