|
SPURS melalui aksi tanpa kalah setakat tujuh aksi termasuk meraih kemenangan ketika berdepan Liverpool kelmarin. - AFP
LONDON – Pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Micky Van De Ven mengakui dia dan rakan-rakannya tidak gentar untuk berdepan siapa sahaja lawan mereka, namun mengakui masih terlalu awal untuk menamakan mereka sebagai pencabar kejuaraan.
Selepas berdepan musim yang sukar sebelum ini serta kehilangan penggempur utama, Harry Kane, harapan kembali berbunga buat kem Spurs selepas kehadiran Ange Postecoglou yang membantu pasukan itu melonjak ke kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Kejayaan menewaskan Liverpool 2-1 kelmarin membuktikan mereka mempunyai cita-cita besar musim ini, namun Van De Ven tidak mahu dia dan para pemain terbuai dengan kejayaan dengan aksi tanpa kalah setakat ini.
“Ia masih terlalu awal untuk memperkatakannya (mencabar kejuaraan). Namun, kami berharap pasukan ini mampu untuk terus mengekalkan prestasi sehingga penghujung musim.
“Kami mahukan yang terbaik musim ini, kami tidak takutkan sesiapa jua. Kami akan terus bermain dengan cara kami sendiri dan mempamerkan peningkatan yang berterusan,” jelasnya.
Biarpun enggan terlalu mengulas mengenai kejuaraan yang sedia dicabar mereka musim ini, Van De Ven mengakui bahawa slot kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan adalah matlamat utama pasukan itu. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... al-cabar-kejuaraan/ |
|