|
Penyokong setia Inter Miami di Stadium DRV PNK, Fort Lauderdale, Florida. - Foto AGENSI
MIAMI: Peminat Inter Miami yang dibintangi Lionel Messi kecewa selepas kelab Major League Soccer (MLS) itu menggandakan harga tiket semusim untuk musim depan.
Kelab, yang dimiliki bersama oleh Jorge Mas dan bekas pemain England, David Beckham, memaklumkan perkara itu kepada peminat menerusi e-mel kelmarin.
Harga paling murah untuk tiket semusim sebelum ini adalah AS$485 (RM2,280) tetapi selepas impak dibawa Messi, ia melonjak kepada AS$884 (RM4,157) untuk tempat duduk di belakang gol bagi 17 perlawanan MLS di laman sendiri.
Harga tiket semusim bagi tempat duduk lain termasuk kerusi serta bilik VIP turut melonjak sekali ganda.
Harga tiket semusim paling murah untuk menyaksikan juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris, Manchester City adalah AS$469 (RM2,205).
Kelab lama Messi, Barcelona mengenakan AS$380 (RM1,787) untuk tiket semusim palingg murah mereka.
Pemegang tiket semusim Miami tahun ini terselamat daripada lonjakan harga untuk perlawanan kelab itu sebaik ketibaan Messi pada Julai.
"Gila. Saya memang jangkakan kenaikan harga, tetapi paling tinggi cuma 50 peratus. Mereka hanya fikirkan tentang duit kerana permintaan sangat tinggi.
"Mungkin mereka hanya mensasarkan kumpulan elit untuk datang ke stadium dan melupakan peminat lain. Mereka akan kehilangan peminat jika mempunyai mentaliti begini.
"Satu hari nanti Messi akan pergi... mereka tidak berfikir panjang. Peminat bawahan inilah yang menjadi teras pasukan dan mereka cuba menghalau mereka - mereka pasti tidak akan kembali," kata Ed Serrano, antara individu yang gigih berkempen untuk membawa francais MLS itu ke Florida Selatan.
Kelab juga merancang untuk berpindah dari Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale ke Miami Freedom Park, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Miami pada tahun 2025. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -inter-miami-kecewa |
|