ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah semakin berkurangan apabila 1,383 orang daripada 468 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat jam 8 pagi tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata sejumlah 12 PPS masih aktif di empat daerah.
Beliau berkata, daerah Kota Setar masih mencatatkan 671 mangsa daripada 236 keluarga yang masih ditempatkan di lima PPS.
"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman menempatkan 289 mangsa daripada 98 keluarga, manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas menempatkan 93 mangsa daripada 32 keluarga dan SK Seri Gunung menempatkan 128 mangsa daripada 39 keluarga.
"PPS di SK Titi Gajah pula menempatkan 67 mangsa daripada 36 keluarga dan PPS SMK Alor Merah menempatkan 94 mangsa daripada 31 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di empat PPS di daerah Baling pula mencatatkan 458 orang daripada 127 keluarga.
Katanya, empat PPS di Baling yang masih aktif adalah SK Iboi membabitkan 94 mangsa daripada 36 keluarga, PPS SMK Jerai (23 mangsa daripada empat keluarga), SK Kampung Keda (80 mangsa daripada 22 keluarga) dan Surau Annur pula (261 mangsa daripada 65 keluarga).
"Dua PPS di Pokok Sena iaitu PPS SK Bukit Hijau terdiri 147 mangsa daripada 35 keluarga dan PPS Maahad Tarbiyah Derang 54 mangsa daripada 13 keluarga.
"PPS di SK Malau di daerah Kubang Pasu pula mencatatkan 53 mangsa daripada sembilan keluarga," katanya.