View: 4478|Reply: 0
|
Keunggulan Hadis 40 Imam An-Nawawi
[Copy link]
|
|
Keunggulan Hadis 40 Imam An-Nawawi
KARYA Imam an-Nawawi secara kolektif dianggap mewakili intipati dan terasajaran Islam yang sempurna.
Hadis 40 Imam an-Nawawi (wafat 676H) adalah himpunan empat puluh dua hadis Nabi SAW yang cukup penting dan signifikan untuk pegangan setiap umat Islam secara amnya. Ini kerana himpunan kesemua hadis secara kolektif boleh dianggap mewakili intipati dan teras bagi ajaran Islam yang sempurna. Kata Imam an-Nawawi: "Setiap hadis daripadanya merupakan kaedah besar daripada kaedah-kaedah utama agama, yang (setiap satunya) disifatkan oleh ulama sama ada berkisar tumpuan ajaran Islam di atasnya, atau ia separuh ajaran Islam, atau sepertiga ajaran Islam, atau ciri yang seumpama itu."
Antara tema agama yang disentuh ialah berkaitan niat, ibadat, iman, ihsan, ketentuan takdir, halal, haram, nasihat, jihad, ketaatan, keyakinan, kasih sayang, kehormatan diri, menghargai orang lain, akhlak mulia, mengikut sunah, bersederhana, penghakiman, mencegah kemungkaran, persaudaraan dan taubat.
Namun, ada pihak yang cuba mengelirukan tema hadis kelapan mengenai jihad yang diriwayatkan daripada lbnu 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi (menggesa sungguh-sungguh) manusia sehingga mereka bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak lslam, manakala perhitungan amal mereka pula terserah kepada Allah Taala." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pihak terbabit seolah-olah sengaja memahami secara negatif Nabi SAW diperintahkan supaya menyebarkan Islam secara kekerasan dan paksaan dengan memerangi umat manusia sehingga mereka memeluk Islam. Walhal Allah SWT jelas berfirman: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)." (al-Baqarah: 256). Maka , hadis berkenaan tidak boleh difahami secara berasingan daripada dalil yang lain.
Kalimah 'memerangi' boleh difahami melalui seluruh usaha dan perlaksanaan dakwah Nabi SAW selama 23 tahun Baginda menjadi rasul. Dalam tempoh ini, Baginda diperintahkan untuk berusaha mendirikan hukum Allah SWT di atas muka bumi dengan menzahirkan kebenaran dakwah Islam dan bersungguh-sungguh menyebarkannya kepada umat manusia untuk menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di Akhirat kelak.
Jika kita merujuk tempoh dakwah Nabi SAW di Makkah selama 13 tahun, maka maksud kalimah 'memerangi' ialah menyebarkan dakwah Islam dengan bersungguh-sungguh kerana jelas tiada perang yang berlaku dalam tempoh ini. Manakala setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah dan ramai yang memeluk Islam sehingga Islam menjadi kuat, maka maksud kalimah 'memerangi' ialah menggesakan sungguh- sungguh dakwah Islam kepada umat manusia kerana ia merupakan tugas kenabian yang wajib dilaksanakan. Sehubungan itu, jihad disyariatkan kepada Nabi SAW dan kekal menjadi sebahagian tuntutan agama sehinggalah hari kiamat.
Jelasnya, maksud kalimah 'memerangi' dapat difahami melalui keseluruhan sirah nabawiyyah. Misalnya, perang Badar berlaku kerana Nabi SAW mahu menzahirkan kekuatan Islam dengan menuntut bela terhadap harta benda orang Islam yang dirampas ketika mereka di Makkah. Lalu Baginda dan sahabatnya cuba untuk memitas rombongan dagang Qurasiy yang melalui sempadan Madinah. Tetapi mereka berjaya meloloskan diri dan meminta bantuan pihak Quraisy Makkah sehingga terjadi peperangan.
Perang Uhud pula berlaku kerana pihak Quraisy tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka semasa perang Badar. Begitu juga perang Khandaq berlaku kerana kaum Quraisy dan sekutu mereka bersepakat untuk menyerang dan menghapuskan umat Islam. Perang Khaibar berlaku kerana puak Yahudi bertindak menghasut kabilah-kabilah Arab untuk menyerang umat Islam di Madinah.
Kemuncaknya berlaku pembukaan kota Makkah apabila kaum Quraisy melanggar perjanjian damai yang telah dimeterai semasa di Hudaibiyah hingga akhirnya seluruh semenanjung Arab tunduk kepada kekuasaan Islam. Kekuatan baharu Arab ini turut menggoyahkan Empayar Rom sehingga mereka merancang untuk menyerang umat Islam. Lalu, Nabi SAW menyambut ancaman mereka dengan menyediakan kekuatan besar tentera Islam yang siap untuk berjihad dalam perang Tabuk.
Dengan kekuatan dimiliki, seruan rahmat Islam juga ditawarkan kepada negeri yang belum memeluk Islam. Sekiranya mereka tidak mahu menerima Islam pun tidak menjadi masalah kerana tiada paksaan dalam beragama, namun mereka mestilah membayar jizyah (cukai) sebagai tanda balasan terhadap kerajaan Islam yang bertanggungjawab melindungi nyawa dan harta mereka. Sebagaimana orang Islam sendiri diwajibkan membayar zakat.
Ringkasnya, pihak yang memahami kalimah 'memerangi' semata-mata sebagai membunuh orang bukan Islam selagi mereka tidak memeluk Islam tanpa penjelasan rasional lain adalah kefahaman yang sangat dangkal dan amat jauh daripada kebenaran dan realiti.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... adis-40-imam-nawawi
|
|
|
|
|
|
|
| |
|