CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3893|Reply: 0

Buang ungkapan 'Itu dulu, sekarang lain'

[Copy link]
Post time 28-9-2023 11:59 AM | Show all posts |Read mode
Buang ungkapan 'Itu dulu, sekarang lain'



PERANG di Bukit Uhud simbol perjuangan, taat setia anak muda membentengi Nabi SAW.


Arena kehidupan anak remaja sentiasa diwarnai dengan gaya laku yang penuh dengan cabaran yang bukan sedikit memaparkan suatu perilaku yang sesekali menggusarkan hati golongan dewasa.

Tambahan pula, dalam suasana dunia yang sedang berkembang laju dengan kepesatan sains dan teknologi sudah dan sedang menghanyut jati diri mereka sebagai pewaris negara yang cemerlang.

Bukan sedikit paparan media massa yang mengisahkan aneka salah laku dalam pelbagai peristiwa semasa yang menjelaskan lagi bahawa golongan anak muda sedang ditenggelamkan oleh arus perkembangan dunia.

Justeru, segala usaha yang bersistematik perlu digerakkan supaya segala pendekatan khususnya dalam pendidikan lebih menjuruskan mereka kembali kepada landasan kehidupan yang diredai Allah SWT.

Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW meninggalkan panduan serba lengkap dan cukup sempurna untuk dijadikan panduan hidup. Panduan yang dipesankan oleh Nabi SAW adalah panduan terbaik. Pesanan yang diwasiatkan baginda bukan sekadar suatu teori kosong yang tiada asas konkrit dalam membina suatu generasi umat Islam yang terbilang dunia dan akhirat.

Pesanan Nabi SAW yang selama ini mungkin sudah pun disedari dan difahami kebanyakan umatnya, namun begitu kita, dalam keasyikan melayari bahtera kehidupan segala pesanan berharga daripada Baginda SAW itu terabai dan sekadar dijadikan bahan bacaan semata-mata tanpa 'dirohkan' dalam kotak hati peribadi.

Seolah-olah sunah dan panduan hidup yang disampaikan oleh Nabi SAW sekadar bahan perhiasan buat mencantikkan gaya pengucapan, namun jauh daripada penghayatan dan pengamalan dalam kehidupan seharian.

Cukup merugikan dan sayang sekali andainya usaha penuh keringat yang diusaha oleh Nabi SAW bersama-sama sahabatnya tidak disambung secara berterusan oleh generasi muda Muslim hari ini.

Usaha penuh jaya bersendikan keterbilangan tamadun insaniah yang digarap oleh Nabi SAW dan sahabat sewajarnya dijadikan pedoman dalam hidup, meskipun kita sekarang berada di suatu zaman yang berbeza dengan keadaan yang mereka tempuhi dahulu.

Usah sesekali lisan mengucapkan, 'Itu dulu, sekarang lain,' kerana panduan dan pesanan daripada Nabi SAW tetap kekal relevan sepanjang masa hingga tarikh akhir hayat dunia ini. Membawa pesanan Nabi SAW bersama dalam menggayakan kehidupan di dunia ini, seolah-olah seseorang Mukmin itu sentiasa menghargai, mencintai dan cintakan agamanya. Kita katakan sentiasa sangat cintakan Nabi SAW, tetapi pada masa sama segala titipan panduan hidup yang diperturunkan olehnya tidak pula kita amalkan, malah kita buat tidak endah sahaja. Jadi, di mana cinta dan sayang kita terhadap Nabi Muhammad SAW? Di mana? Di mana?…

Sesungguhnya, kecemerlangan yang pernah dicapai oleh mana-mana tamadun besar dunia dahulu banyak diserlahkan oleh peranan besar yang dimainkan golongan muda. Kuat dan jitunya semangat anak mudalah yang sudah membawa sesuatu bangsa dan negara itu cemerlang mencapai jaya.

Demikian juga halnya dalam sejarah tanah air kita, banyak nama anak muda yang muncul sebagai wira bangsa dalam memperjuangkan kemerdekaan dengan mengangkat senjata untuk berteriak, 'Tidak kepada Penjajah'. Pejuang muda dari negeri Bumi Kenyalang, misalnya, nama agung 'Rentap' yang berbangsa Iban dan Rosli Dhoby, seorang anak Melayu Sarawak muncul antara anak muda yang tidak mahu melihat bangsa dan watan mereka terus diinjak-injak oleh bangsa penjajah.

Malah, dalam tinta emas keterbilangan sejarah perkembangan syiar Islam semasa era Rasulullah SAW dahulu juga banyak dipaparkan berkaitan peranan besar yang dipikul anak muda yang sanggup menggalas amanah Allah demi kelangsungan agama Islam. Deretan nama tokoh anak muda Islam yang berjuang di sisi Nabi SAW tanpa sedikitpun rasa gentar, sebaliknya menzahirkan jiwa sanggup berkorban apa sahaja demi agama Allah yang suci.

Di mana sahaja Nabi SAW berada, maka di situ adanya anak muda yang membentengkan diri baginda SAW. Mereka lebih rela berkorban nyawa, asalkan agama Allah dan Rasulullah SAW terus bersinar di atas muka bumi ini. Ada kalangan mereka yang asalnya hidup serba mewah, namun disebabkan iman yang padu, segalanya ditinggalkan, sebaliknya rela memilih hidup ala kadar sahaja, asalkan Islam terus bergemerlapan sinarnya.

Lihat pengorbanan suci Saidina Ali bin Abi Talib, sepupu dan sahabat karib Nabi SAW yang usianya masih terlalu mentah pada zahir, namun cukup ranum pada batinnya sudah menjadi antara akar tunjang kepada lahirnya sebuah tamadun Islam di bumi Arab yang suatu ketika sarat dengan tayangan adegan hidup serba jahiliyyah.

Lihat bagaimana murni jiwa iman pada diri Mus'ab bin Umair yang menjadi anak emas dalam keluarga yang kaya, tetapi berakhir hayat sebagai pejuang ulung yang disanjungi Nabi SAW. Menjulang panji Islam di medan Uhud yang berakhir dengan gugurnya sebagai hero Rasulullah SAW'. Namanya pasti kita ingat, apatah lagi semasa berziarah di Bukit Uhud semasa dalam perjalanan menunaikan ibadah umrah.

Betapa sayu hati kita ketika mana mata terpandang pada suasana makam para syuhada Perang Uhud yang sekali gus menostalgiakan kembali kotak ingatan kepada babak penuh yang dilalui oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat dalam kancah perang yang dahsyat itu. Bukan Mus'ab sahaja yang mungkin kita teringat kisah perjuangannya, tetapi juga kepada gugurnya seorang lagi anak muda yang seiring dalam berjuang hingga ke titisan darah terakhir di Uhud dulu, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib.

Anak muda pada zaman Rasulullah SAW adalah 'Perwira Agama' yang sentiasa berpegang utuh kepada slogan keramat, 'Wahai Rasulullah, Kami Dengar, Kami Taat.' Jika mahu dibandingkan dengan keadaan kini, jauh bezanya, ibarat langit dengan bumi.' Namun, masih belum terlewat untuk kita membangunkan seluruh kekuatan diri baik dalam segi kehebatan tubuh badan, keutuhan minda dan kemantapan emosi yang bersandarkan kepada keperkasaan iman dan takwa kepada Allah, insya-Allah segala detik duka imej umat Islam masa kini mampu dizahirkan kembali menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang terbilang.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah, Pahang

SumbeR:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -dulu-sekarang-lain

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 02:31 PM GMT+8 , Processed in 0.098382 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list