BALING: Pasukan bomba berjaya mengeluarkan lebih 20 penduduk daripada tujuh keluarga di Kampung Iboi, dekat sini yang terperangkap akibat banjir kilat, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud, berkata sepasukan anggotanya tiba di lokasi sejurus menerima maklumat berhubung kejadian banjir di kawasan itu pada jam 7.45 malam tadi.
Beliau berkata, anggotanya menghadapi kesukaran ketika melakukan operasi penyelamatan apabila terpaksa meredah arus deras dan jalan sempit.
"Namun, anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa termasuk penduduk yang sakit dan warga emas keluar dari kawasan itu untuk dipindahkan ke tempat selamat.
"Setakat ini operasi penyelamatan masih berjalan dan keadaan air sangat deras," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Jamil berkata, pihaknya turut meminta bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan Baling, selain pemandu jentera berat untuk membantu dalam operasi penyelamatan.
Katanya, semua mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang baru diaktifkan.