View: 2463|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Tak sempat alih perabot tempahan pelanggan
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/banjiterluk1_1695631250.jpg)
ZAINOL ketika ditemui selepas kejadian banjir kilat di Kampung Masjid Teluk Kumbar. FOTO Aminah Yusof
Bayan Lepas: Lebih 20 rumah di Kampung Masjid dan Kampung Matahari Naik di Teluk Kumbar di sini dilanda banjir kilat hingga paras betis berikutan hujan berterusan sejak jam 7 pagi tadi.
Seorang pengusaha perabot, Zainol Amir, 58, berkata rumah dan bengkelnya yang terletak di tepi sungai turut dimasuki air dengan beberapa perabot kayu dan papan lapis yang disusun di atas lantai dikhuatiri rosak selepas terendam air kira-kira dua jam.
"Saya sedar banjir dalam jam 8.30 pagi ketika sedang bantu isteri menyediakan kuih donut untuk dihantar ke kantin sekolah jadi tak sempat nak alihkan perabot dan kayu tersebut dengan kerugian dianggar RM3,000 hingga RM5,000.
"Saya sebenarnya baru menyiapkan almari, kerusi dan rak kasut yang akan diambil pelanggan minggu depan. Tetapi bila jadi begini saya rasa kayu pun sudah kembang takut tiga empat bulan guna sudah rosak.
"Kalau cuaca cerah esok saya nak cuba jemur. Rasanya saya kena buat perabot baharu sebab pengalaman sebelum ini perabot yang kena air kayunya mudah lekang dan tak tahan lama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Azmalina Abdul Aziz, 37, berkata dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) untuk melihat keadaan rumahnya dan ia kali ketiga banjir melanda kawasan tempat tinggalnya tahun ini.
"Saya berdebar dan risau juga memikirkan anak yang ditinggalkan kepada pengasuh sebab tahun lalu pernah air naik sampai paras paha.
"Jadi rumah kami memang barang-barang letak di tempat tinggi dan lantai pun kami tidak alas sebarang tikar atau permaidani," katanya.
Selain itu, lebih 10 pekebun sayur turut menanggung kerugian mencecah puluhan ribuan ringgit selepas tanaman mereka seperti terung, bendi, peria, sawi, bayam dan kangkung musnah ditenggelami air.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir, menasihati penduduk untuk terus berwaspada biarpun situasi banjir kini terkawal.
"Kampung berkenaan dikelilingi bukit dan saya dimaklumkan kadar taburan hujan tinggi iaitu sebanyak 65 milimeter per jam mengundang banjir kilat apabila air deras menuruni sekeliling bukit. Jadi perbincangan segera dibuat bersama pegawai daerah, jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit Saliran (JPS).
"Saya syorkan supaya titi yang melintasi Sungai Teluk Kumbar di Taman Perda di sini serta berhampiran Masjid Maqbul dibina baharu supaya tidak menghalang laluan air dengan kos sekitar RM6 juta akan dimohon untuk pertimbangan kerajaan negeri," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -tempahan-pelanggan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|