Alor Setar: "Terasa rindu sangat bila kemas baju arwah. Rasa macam dia masih ada ketika majlis akad nikah berlangsung baru-baru ini.
Itu kata Norhidayah Muhamad Saleh, 30, adik penghantar makanan, Muhammad Hafiz Muhamad Saleh yang maut dalam
nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor 17 Ogos lalu.
Katanya, biarpun masih bersedih, dia dan keluarga bersyukur majlis akad nikah yang berlangsung baru-baru ini berjalan lancar.
Menurutnya, arwah abangnya sempat menunaikan niatnya untuk membantu untuk majlis perkahwinannya dan mengirim wang beberapa hari sebelum nahas berlaku.
"Arwah tak cakap apa pun cuma dia beritahu dia akan tambah duit lagi nanti.
"Perasaan sedih sudah berkurang cuma rindu memang terasa terutama apabila kemas baju arwah, memang rasa rindu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, perasaan ketika itu sayu kerana sepatutnya arwah abangnya ada sekali sewaktu majlis akad nikah berlangsung.
Norhidayah berkata, rakan-rakan seperjuangan Allahyarham di kalangan penghantar makanan masih mengadakan majlis tahlil untuk arwah.
Dalam insiden pada jam 2.50 petang 17 Ogos lalu,
10 mangsa disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina.