LANGKAWI: Dua remaja yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Langkawi kelmarin, meninggal dunia malam tadi dan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang meninggal dunia itu adalah penumpang kenderaan terbabit.
"Mangsa, Muhammad Fizz Razwail Zainuddin, disahkan meninggal dunia pada jam 10.53 malam tadi, manakala Muhammad Haikal Hakim Che Isa, 8.59 pagi ini.
"Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha (HSM)," katanya di sini.
Muhammad Fizz Razwail Zainuddin (kiri) dan Muhammad Haikal Hakim Che Isa meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Langkawi, kelmarin.
Shariman berkata, laporan bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ.
Difahamkan, kedua-dua jenazah sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang untuk dikebumikan.
Semalam, media melaporkan dua parah manakala dua lagi termasuk pemandu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan MPV dinaiki empat remaja ketika jalan basah dan hujan renyai-renyai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.