Georgetown: Kegembiraan tiga beranak menghabiskan cuti Hari Kebangsaan dengan berkelah di tepi Pantai Miami, Jalan Batu Feringgi di sini, bertukar tragedi.
Dalam kejadian itu, Haryadi Salleh, 43, yang berasal dari Jitra, Kedah dikatakan mahu menyelamatkan anaknya yang hampir lemas sebelum dia sendiri tenggelam dan ditemukan lemas.
Pegawai Pertahanan Awam Unit Tanjung Bungah (PA) Leftenan Mohd Lili Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
"Anak mangsa berusia 13 tahun hampir lemas sebelum mangsa cuba menyelamatkannya.
"Namun sebaik anaknya berjaya diselamatkan orang awam, mangsa pula dikhuatiri lemas sebelum ditemukan kira-kira 70 meter dari menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, kes diserah kepada polis sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.
Tambah beliau, mangsa dikatakan datang bercuti ke Pulau Pinang bersama isteri dan anaknya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, seramai lapan anggota termasuk dua dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
"Keadaan ombak pada ketika itu tidak bergelora walaupun selepas hujan dan pantai juga dipenuhi dengan pengunjung yang berkelah serta mandi manda," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Mohd Lili berkata hari ini turut berlaku kes di Pantai Bayu Senja, Batu Feringghi, di sini, apabila dua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun hampir lemas namun berjaya diselamatkan.
"Kejadian itu berlaku pada jam 2.50 petang dan kedua-dua mangsa kini berada di hospital bagi diberi rawatan lanjut," katanya.