View: 1467|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Bantu 800 usahawan
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0825rsniaga_1693007711.jpg)
AKTIVITI perniagaan menghasilkan lebih banyak pendapatan kepada rakyat dan negara
Kuala Lumpur: Pendekatan Ekonomi Madani melalui Program RAKYATpreneur dan UNIpreneur 2023 berjumlah RM3.5 juta bagi membantu 800 usahawan dan pelajar universiti daripada golongan asnaf membantu rakyat memperkasakan kedudukan ekonomi dari segi keusahawanan atau perniagaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Zarinah Yusof berkata ini adalah tindakan yang lebih proaktif kerana seramai 800 usahawan dan pelajar universiti berpotensi menerima dana melalui inisiatif keusahawanan Bank Rakyat.
"Dalam sistem ekonomi kapitalis pada hari ini, pendekatan ini adalah penting kerana institusi yang kukuh dengan aktiviti keusahawan dalam kalangan rakyat dapat mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.
"Aktiviti keusahawanan ini dapat meningkatkan kegiatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan penggunaan domestik. Golongan usahawan ini adalah golongan yang berupaya untuk memperkenalkan inovasi dan teknologi dalam usaha mereka untuk terus berkembang. Ini dapat membawa kemajuan kepada negara dan dalam jangka masa panjang menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara," katanya.
Menurutnya, suntikan dana dapat membantu mengatasi masalah kewangan dalam kalangan usahawan kecil dan usahawan siswa.
"Usahawan kecil dan usahawan siswa sukar mendapatkan pinjaman daripada bank kerana tidak mempunyai rekod kewangan yang kukuh.
"Sementara program latihan dapat membantu usahawan lebih bermaklumat dan berupaya menggunakan teknologi digital dengan lebih baik untuk memajukan perniagaan mereka sekali gus dapat memperkukuhkan institusi keusahawanan Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, usahawan kecil dan usahawan siswa yang mendapat pembiayaan kewangan secara langsung di bawah program ini akan memulakan perniagaan mereka, menggaji pekerja, menyewa premis dan menjual produk.
"Aktiviti perniagaan ini menghasilkan lebih banyak pendapatan kepada rakyat dan negara. Lebih ramai yang bekerja dan aktiviti ekonomi lebih rancak.
" Usahawan yang berjaya daripada program ini perlu dijadikan sebagai contoh dan dijemput sebagai penceramah untuk berkongsi pengalaman mereka kepada usahawan lain," katanya.
Beliau bagaimanapun berpandangan suntikan dana RM3,000 mungkin tidak mencukupi dalam mendepani cabaran kos hidup yang semakin meningkat.
"Cabaran di awal perniagaan dalam kalangan usahawan siswa mungkin tinggi. Kegigihan dan kesabaran sangat diperlukan.
"Saya berharap mereka yang terpilih dapat memanfaatkan sebaik mungkin inisiatif ini dan berusahalah tanpa lelah. Anggaplah semua kesukaran sebagai pengalaman dan latihan untuk memajukan diri," katanya.
Program RAKYATpreneur adalah inisiatif kewangan sosial Bank Rakyat bertujuan membantu usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan dana sebanyak RM5,000.
Bank Rakyat UNIpreneur pula adalah kerjasama Bank Rakyat dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk membantu usahawan siswa asnaf dari universiti yang terpilih meliputi suntikan dana sebanyak RM3,000 kepada peserta program dan pembangunan modul program oleh universiti yang terbabit.
Kedua-dua program itu adalah inisiatif kewangan sosial di bawah rangkuman program iTEKAD yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mampu memberi impak yang lebih meluas khususnya kepada golongan usahawan asnaf dan mikro yang menghadapi kekangan dalam mendapatkan bantuan dan sumber kewangan bagi memastikan kelestarian perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program berkenaan dapat memastikan penerima bantuan mempunyai peluang yang cerah untuk berjaya dan meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup mereka.
"Bagaimanapun untuk memastikan program ini memberi impak positif, indeks prestasi utama (KPI) harus tertumpu kepada output program daripada segi peningkatan hasil pendapatan, pertambahan jumlah pekerja, pertambahan produk atau berjaya memasarkan barangan ke luar negara bukannya berdasarkan jumlah peruntukan diberi," katanya.
Mengulas lanjut, pemantauan berterusan oleh agensi pemberi juga amat penting untuk memastikan inisiatif ini dapat mencapai objektif yang diinginkan.
"Tanpa pemantauan yang menyeluruh, (program ini ) berisiko untuk gagal," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... /bantu-800-usahawan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|