|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/cuffs5_1692807565.jpg)
GAMBAR hiasan
Kuala Lumpur: Seramai 15 lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai menyeleweng diesel Petronas di Pantai Timur yang menyebabkan syarikat itu rugi RM13.5 juta.
Mereka ditahan menerusi operasi bersepadu di sekitar ibu negara, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 21 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan bagi mengesan dan menahan mereka terbabit penyelewengan.
"Hasilnya, kami menahan 15 lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 52 tahun dan merampas dua kenderaan, 16 telefon bimbit, 17 set dokumen, 16 pek kad sim dan dua kad syarikat.
"Kami turut merampas dua pengukur kedalaman tangki minyak, satu 'gasoline gauging paste', satu kad pelaut, satu mesin kira, satu tablet, dua komputer riba serta tiga cop pelbagai syarikat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ramli berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak 2021 dan mengakibatkan syarikat Petronas mengalami kerugian dianggarkan RM13.5 juta bagi tempoh Januari 2021 hingga Februari lalu.
"Sindiket ini yang dianggotai oleh individu daripada pelbagai kelas jawatan dalam bidang perkapalan dikesan menjual semula baki diesel diperuntukkan kepada setiap kapal logistik marin kepada pembeli secara haram.
"Harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM1.80 hingga RM1.98 liter dan hasil jualan dibahagikan antara krew bertugas pada tempoh masa terbabit," katanya.
Beliau berkata, semua suspek berkenaan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
"Siasatan berhubung kes ini masih diteruskan untuk menilai sejauh mana aktiviti berkenaan berleluasa dan mengenal pasti mereka yang terbabit," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... petronas-sejak-2021 |
|