CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 866|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] 'Maafkan baba wahai anakku'

[Copy link]
Post time 23-8-2023 12:17 PM | Show all posts |Read mode

TANGKAP layar video Apai bersama anak tunggalnya, Nur Arisya ketika berteduh di bawah jambatan tular di laman sosial. FOTO Ihsan Apai

Kuala Lumpur: "Maafkan baba wahai anakku sebab membuatmu berpanasan serta bermandian hujan selalu.

"Insya-Allah, satu hari nanti kita akan berbumbung walau ke mana pun," itu luahan lelaki dikenali Apai menerusi perkongsian video di TikTok yang mengundang simpati ramai.

Perkongsian video Apai, 35, berteduh di bawah jambatan bersama anak perempuannya, Nur Arisya berusia setahun lima bulan tular di laman sosial dan sehingga kini meraih lebih 288,000 tontonan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan Apai terus kuat untuk mencari rezeki buat keluarganya selain kagum dengan pengorbanannya sebagai bapa.

Menurut Apai, dia terharu dengan keprihatinan orang ramai dan menjelaskan tujuannya memuat naik video berkenaan bukannya untuk meraih simpati sesiapa.

Sebaliknya, Apai yang bekerja sebagai pembantu di kedai alat ganti kenderaan sekadar mahu berkongsi kenangan bersama anak tunggalnya dengan memuat naik video di TikTok dan tidak menyangkap perkongsiannya tular dalam waktu singkat.

"Video itu dirakam seminggu lalu ketika saya berhenti untuk berteduh di bawah jambatan dekat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke).

"Ketika itu, saya dalam perjalanan untuk hantar anak ke rumah emak namun berhenti di situ sekejap kerana hujan renyai.

"Sambil berehat, saya merakam video dengan anak dan muat naik di TikTok keesokannya dan sangat terkejut apabila ia dapat perhatian hingga ada yang mesej untuk belikan topi keledar buat Nur Arisya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Apai yang menetap di Setapak, di sini berkata, dia serba salah juga apabila ramai yang salah sangka dengan perkongsiannya itu.

Justeru, Apai berharap penjelasan dibuat dapat menerangkan situasi sebenar bagi mengelak kekeliruan di kemudian hari.

"Saya dan isteri bukan orang senang tetapi cukup makan pakai kerana kami berdua bekerja.

"Setakat ini, kami masih sihat dan tidak bergantung bantuan tetapi terima dengan tangan terbuka jika ada yang berniat nak menyumbang seikhlas hati mereka.

"Maaf jika perkongsian saya itu mengundang salah faham kerana tiada niat langsung untuk minta perhatian tetapi terima kasih kepada yang mendoakan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... n-baba-wahai-anakku
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-2-2025 05:05 PM GMT+8 , Processed in 0.963103 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list