|
Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti (tengah) menjulang trofi Scudetto selepas pasukannya muncul juara Serie A Itali buat kali ketiga dalam sejarah musim lalu. – Foto REUTERS
ROME: Luciano Spalletti, juara liga Itali bersama Napoli musim lalu, diberi tugas untuk memulihkan semula Azzurri awal pagi tadi, lima hari selepas peletakan jawatan mengejut Roberto Mancini sebagai jurulatih Itali.
Objektif utama Spalletti adalah untuk melayakkan juara Eropah itu ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, sesudah Itali terlepas edisi 2018 dan 2022.
Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dalam satu kenyataan berkata mereka "mencapai persetujuan dengan Luciano Spalletti bagi jawatan jurulatih pasukan kebangsaan Itali bermula 1 September ini."
"Selamat datang Spalletti," kata presiden FIGC, Gabriele Gravina, "pasukan kebangsaan memerlukan seorang jurulatih hebat dan saya amat gembira beliau menerima tugas sebagai pengendali Azzurri."
Tempoh kontraknya tidak dinyatakan, namun menurut akhbar Itali, ia meliputi tiga tahun hingga tahun 2026.
Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti sebelum aksi Serie A Itali menentang Sampdoria di Stadio Diego Armando Maradona, Naples pada 4 Jun lalu. – Foto REUTERS
FIGC berkata, Spalletti akan diperkenalkan secara rasmi di pusat latihan kebangsaan di Coverciano, dekat Florence, sebelum aksi kelayakan Euro 2024 menentang Macedonia Utara dan Ukraine pada awal September.
Spalletti tidak bekerja sejak beliau meninggalkan Napoli, hanya beberapa minggu selepas mengemudi mereka merangkul Scudetto buat kali ketiga dalam sejarah kelab itu.
Rundingan agak rumit kerana kontraknya bersama Napoli, yang berakhir hingga Jun 2024, termasuk klausa yang memerlukannya membayar pampasan 3 juta euro (RM15 juta) jika beliau memegang jawatan baharu.
Presiden dan pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis enggan untuk melepaskan jurulatih berasal dari Tuscan itu.
FIGC tidak menyatakan sama ada satu persetujuan dicapai bersama Napoli. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ti-pulihkan-azzurri |
|