Polis berkawal di luar hospital selepas Fernando Villavicencio ditembak di Quito. - Foto AFP
MOSCOW: Presiden Ecuador, Guillermo Lasso pada Khamis mengumumkan perintah darurat di seluruh negara selama 60 hari, selepas pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio.
Pada Rabu, media melaporkan Villavicencio ditembak mati semasa satu perhimpunan di ibu negara Ecuador, Quito. Lasso kemudian mengesahkan laporan itu.
"Saya mengisytiharkan darurat selama 60 hari. Mulai sekarang, angkatan tentera digerakkan di seluruh negara untuk menjamin keselamatan rakyat, keamanan negara dan pilihan raya yang bebas serta demokratik," kata Lasso dalam ucapannya kepada rakyat negara itu yang disiarkan menerusi saluran pentadbiran presiden di YouTube, lapor Sputnik.
Presiden juga mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama tiga hari berikutan pembunuhan calon presiden. – BERNAMA-XINHUA
|