GEORGE TOWN: Sektor pelancongan Pulau Pinang bakal terus berkembang kukuh dengan lebih banyak syarikat penerbangan mengumumkan pelancaran penerbangan terus ke negeri itu, yang kelak akan membawa impak positif dari segi kedatangan pelancong.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin, berkata Kerajaan Negeri sedang berusaha keras untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan harapan dapat menghubungkan Pulau Pinang ke bandar-bandar utama lain di dunia.
"Kami berharap dapat mewujudkan penerbangan terus ke Abu Dhabi, Dubai, Doha, Chennai, Shanghai, Shenzhen, Beijing, Chengdu, Tokyo, Seoul, Istanbul dan Sydney menjelang akhir tahun.
"Saya berharap pengganti saya (selepas pembentukan kerajaan negeri) kelak akan meneruskan usaha menyelesaikan misi ini untuk membawa penerbangan terus tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA)," katanya pada sidang akhbar mengumumkan penerbangan AirAsia yang disambung semula dari Hong Kong ke Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Yeoh berkata, mewujudkan hubungan udara terus dengan destinasi utama global akan menyediakan potensi amat besar dari segi membangunkan pelancongan, perdagangan dan ekonomi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata jika lebih banyak syarikat penerbangan memutuskan untuk menyediakan penerbangan terus di bandar lain ke destinasi Malaysia selain Lapangan Terbang Antarabangsa KL akan menjadi berita baik kepada negara secara keseluruhan.
"Adanya bandar lain sebagai satu lagi pintu masuk ke Malaysia adalah suatu yang baik kerana ini secara automatik akan meningkatkan tempoh penginapan pelancong, membawa kepada pendapatan tambahan bagi kita dari segi perbelanjaan pelancong," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengarah Bukan Eksekutif Capital A, Datuk Abdul Aziz Bakar.
AirAsia hari ini meraikan penerbangannya yang baru disambung semula dari Hong Kong ke Pulau Pinang dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Penerbangan AK2280 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan tiba di PIA pada 2.55 petang dengan muatan penumpang 96 peratus. -- Bernama