|
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/08/Noor-Dellhan.jpeg)
Noor Dellhan menunjukkan kediaman pusat judi dalam talian yang diserbu di Jalan Kia Peng, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Sanggup sewa sebuah kondominium mewah dengan bayaran bulanan RM7,000 untuk menjalankan kegiatan haram.
Itulah taktik digunakan satu sindiket perjudian dalam talian bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, melalui maklumat dan risikan, kegiatan tersebut dihidu pihaknya sebelum serbuan dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kia Peng, di sini, kelmarin.
Katanya, hasil serbuan tersebut berjaya menahan tiga lelaki warga asing yang didapati mengendalikan pusat panggilan dan laman sesawang judi dalam talian.
“Serbuan sekitar pukul 6.30 petang itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 51 hingga 61 tahun yang dipercayai sudah beroperasi selama satu bulan.
“Beberapa rampasan turut dilakukan membabitkan empat telefon bimbit, sebuah laptop, unit pemprosesan pusat (CPU) lima monitor sebuah modem dan dua router,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Menurutnya, sindiket perjudian itu mengenakan taruhan bermula dengan RM100,000 buat setiap pemain di laman sesawang ballysbet.com yang dikendalikannya.
“Kesemua suspek yang ditahan memasuki negara secara sah pada Mei lalu dan awal Ogos ini. Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Tambah Dellhan, suspek pertama direman tiga hari sehingga esok, manakala dua lagi suspek disambung reman selama dua hari lagi sehingga Rabu ini.
Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka.
Dalam perkembangan lain, Noor Dellhan memaklumkan, pada tahun ini sahaja sebanyak 14 serbuan dilakukan membabitkan kegiatan pusat panggilan dan berjaya menahan 107 orang.
“Angka ini lebih tinggi berbanding tahun lepas yang mencatatkan sebanyak lapan serbuan dengan tangkapan seramai 82 orang,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... iaman-mewah-tumpas/ |
|