Arau: Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai masalah untuk mengisytiharkan harta kerana amalan itu pernah dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya menyerahkan kepada pentadbiran kerajaan sedia ada dalam melaksanakan pengisytiharan harta masing-masing sebagai tanda ketelusan dalam pentadbiran.
"Kita memang serahkan kepada pentadbiran negara. Kita tahu bahawa tidak ada masalah pun untuk mengisytiharkan harta kerana dulu dah buat (pengisytiharan harta).
"Masa saya jadi Ketua Menteri (Melaka) pun kita sudah buat semasa kerajaan Pakatan Harapan mentadbir dan bagi saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan ini juga sudah maklumkan (kepada semua Menteri dan Timbalan Menteri) berhubung pengisytiharan harta ini.
"Jadi kita di peringkat sama ada Menteri atau Timbalan Menteri, kita akan lakukan sekiranya ada arahan untuk melakukan (pengisyatiharan harta) itu dan kita tiada masalah untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Program Peduli Veteran Tentera Peringkat Negeri Perlis di sebuah kilang produk minuman soya di Kampung Utan Buloh, Jejawi, di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Muar merangkap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar barisan kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa masih belum mengisytiharkan harta.
Terdahulu, Adly meluangkan masa sekitar 20 minit meninjau proses pembuatan minuman soya yang diusahakan oleh veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen, Ku Azizan Ku Chik menerusi perusahaan Azra Soya yang begitu terkenal di sekitar Perlis.
Turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.